Cari jalan kurangkan kebergantungan pada bantuan JKM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 30 Jun – Tren peningkatan golongan memerlukan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Melaka membimbangkan, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Beliau berkata, berdasarkan rekod kira-kira 2,000 permohonan baharu diterima JKM dalam tempoh setahun.

Katanya, peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan permohonan bantuan kepada JKM Melaka ialah seramai 26,000 orang.

“Tren peningkatan ini sebenarnya tidak bagus, kita membelanjakan hampir RM1.4 juta setahun bagi pembelian lampin pakai buang melibatkan bayi, kanak-kanak dan dewasa untuk diagihkan.

“Hampir RM900,000 pula diperuntukan bagi pembelian susu formula dan beberapa lagi rekod yang melibatkan permohonan lain membabitkan barangan asas.

“Kita bersama golongan pemikir akan mencari solusi untuk dilaksanakan di negeri ini bagi mengurangkan kebergantungan golongan ini kepada JKM khususnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Gotong Royong Korban Kelompok di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, pihaknya melihat contoh yang bagus seperti di Jepun dalam usaha mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

“Seperti di Jepun, kerajaan mereka membina pusat atau rumah-rumah kebajikan dengan memberikan mereka ini ‘kerja’ seperti mengait, menjahit, menganyam dan pelbagai lagi.

“Kemudian hasil kerja mereka akan dijual, kesemua hasil jualan dikembalikan kepada penghuni, sekali gus mereka tidak hanya mengharapkan bantuan diberi oleh kerajaan namun mereka mampu berdikari atas usaha sendiri.

“Kita tidak mahu tren peningkatan golongan meminta bantuan daripada kerajaan ini sentiasa meningkat ia akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1428
Kongsi :
Previous post SRA JAIM Kampung Bachang Darat bakal dibina
Next post Remaja maut rempuh belakang kereta
Ubah saiz-+=