Cari damai di Pulau Besar
PULAU BESAR 6 Februari – Dahulu, nama Pulau Besar mungkin lebih sinonim sebagai pulau mistik dan dipenuhi aktiviti-aktiviti berunsur khurafat, namun, kini, semua itu boleh dikatakan sudah berakhir.
Ia apabila Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) melakukan penjenamaan semula pulau tersebut sebagai pulau peranginan.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati pulau berkenaan sudah mula menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri untuk beriadah mahupun berkelah bersama keluarga.
Malah, limpahan itu turut dirasai pengusaha bot di sekitar Alai dan Umbai apabila tempahan untuk ke Pulau Besar boleh dikatakan semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif MPPM Azhar Yaacob berkata, hasil transformasi yang dilakukan, pulau berkenaan mula menerima impak memberangsangkan dari sudut pelancongan apabila mencatat kunjungan kira-kira 10,000 pengunjung tahun lalu.
“Kita anggarkan untuk tahun lepas sahaja, kira-kira 300 hingga 400 pengunjung direkodkan sebulan dan jumlah itu berbeza, bergantung kepada aktiviti dan program yang dianjurkan.
“Sebagai contoh, jika ada program melibatkan pelajar insititusi pengajian tinggi membabitkan aktiviti kembara dan sukan misalnya, jumlah kedatangan pengunjung itu akan meningkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, untuk tahun 2023, jumlah pelancong disasarkan akan meningkat sekali ganda hasil pelbagai tarikan baharu dan aktiviti yang bakal dilaksanakan.
MENYELAM BERSAMA IKAN
Menurutnya, antara aktiviti baharu yang akan dibuka pada tahun ini ialah aktiviti snorkeling dan selam skuba di tiga taman laut yang juga diletakkan di bawah kluster Pulau Besar.
“Tiga taman laut itu ialah di Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol yang mana kita jangkakan aktiviti itu akan bermula pada bulan ini (Februari) sebaik cuaca dan arus laut kembali pulih.
“Selain kita juga ada perancangan membangunkan ‘Zip Line’ dari Pulau Besar ke Pulau Lalang dan pembinaan jeti baharu dan masjid terapung, namun ia masih diperingkat cadangan,” katanya.
Selain tarikan pelancongan, Azhar berkata, pihaknya juga akan meneruskan program berbentuk sukan dan rekreasi seperti Pulau Besar Challenge dan Historical Hunt yang dianjurkan tahun lalu.
“Tahun lalu, akibat COVID-19, kita terpaksa hadkan penyertaan kepada 100 orang sahaja.
“Tapi disebabkan keadaan sudah kembali pulih, kita sasarkan lebih ramai penyertaan kali ini dengan aktiviti melibatkan empat disiplin iaitu berbasikal, berkayak, jalan kaki dan ‘wall climbing’,” katanya.
PUSAT INFORMASI PULAU BESAR
Azhar berkata, tahun ini juga, sebuah pusat informasi bakal dibuka kepada orang ramai bagi memberi penerangan lanjut mengenai 16 pulau yang terdapat di Melaka.
Katanya, pusat informasi yang menelan kos hampir RM1 juta itu dijangka siap pada Mac atau April depan sebelum dibuka kepada orang ramai secara percuma buat permulaan.
“Di dalam pusat informasi ini kita sediakan maklumat secara ringkas mengenai pulau-pulau yang ada di Melaka dan fokusnya lebih terarah kepada kluster Pulau Besar.
“Jadi, maklumat-maklumat ini kita pamerkan di sini supaya pengunjung dapat mengetahui bahawa Pulau Besar ini sudah dijenamakan sebagai pulau peranginan.
“Di sini juga, kita sediakan replika model Pulau Besar yang menunjukkan apa sebenarnya ada di pulau ini, selain pembangunan akan datang yang dirangka,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pusat informasi itu juga turut menyediakan mini akuarium yang mempamerkan batu karang dan ikan-ikan marin yang ada di sekitar perairan pulau-pulau Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.