CALON SPM MAUT DALAM PERJALANAN KE SEKOLAH

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KESIDANG 2 Oktober – Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum diseret sebuah lagi kereta dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Dato Mat Zin, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa Muhammad Rusyaidi Mohd Razali yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y110 sedang dalam perjalanan dari arah Taman Merdeka menuju ke sekolah di Batu Berendam.

Katanya, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai cuba memotong di sebelah kanan di garisan berkembar dan ketika itu sebuah SUV jenis Nissan X Trail hendak ke kanan menghala ke sebuah bengkel kereta sebelum menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel.

“Akibat pergeselan itu, mangsa telah terbabas ke arah kanan jalan, lalu datang sebuah kereta jenis Honda CR-Z tidak sempat mengelak dan telah menyeret mangsa ke arah kiri jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, manakala dua lagi pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

“Pol 61 telah dikeluarkan bagi melakukan siasatan ke atas mangsa dan kedua-dua pemandu kereta turut diambil sampel darah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Christopher, siasatan lanjut masih diteruskan dengan mengesan saksi bebas yang melihat kejadian tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post FUNGSI ‘RELOAD’ MELAKA SMART PARKING MASIH TUNGGU PENGESAHAN
Next post TVS BERMINAT JALIN KERJASAMA DENGAN UNIT MEDIA KETUA MENTERI MELAKA, MHI
Ubah saiz-+=