Calon SPM berdepan kekangan masa

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 20 Jan. – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bakal menduduki peperiksaan itu hujung bulan depan menzahirkan kebimbangan tidak mempunyai masa cukup untuk melakukan ‘pecutan terakhir’ dalam mengulang kaji pelajaran.

Walaupun sesi persekolahan bagi mereka dibuka bermula hari ini, namun tempoh kira-kira sebulan itu dibimbangi tidak cukup untuk membuat persiapan yang jitu bagi menempuh peperiksaan besar itu.

Hal itu antara yang disuarakan Muhammad Syazril Amir Ali, 18, ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh itu mengakui sesi pembelajaran yang kerap tergendala sejak Mac lalu akibat pandemik COVID-19, sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada persediaannya untuk menghadapi SPM.

Walaupun tidak pernah ketinggalan mengikuti kelas dalam talian sejak sekolah ditutup namun, dia mengakui aspek komunikasi masih terbatas di antara pelajar dan guru-guru.

“Masa sebulan amat tidak cukup untuk mempunyai persiapan betul-betul rapi bagi menghadapi SPM memandangkan ‘batch’ kami lebih banyak melalui sesi pembelajaran secara dalam talian.

MUHAMMAD Syazril mahu melakukan ‘pecutan terakhir’ dengan bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran dan memanfaatkan sesi pembelajaran secara bersemuka.

“Sesi pembelajaran dalam talian itu bukanlah tidak bagus, tetapi saya melihat ia masih belum cukup menyeluruh berbanding pembelajaran secara bersemuka yang sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan,” katanya.

Begitupun, Muhammad Syazril enggan menjadikan kekurangan itu penghalang untuknya mengecapi kejayaan, sebaliknya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan berada dalam genggamannya.

“Saya berharap dalam masa sebulan lebih ini saya dan semua calon SPM dapat berhempas-pulas mengulang kaji pelajaran yang tertinggal sebelum ini dan buat sehabis baik untuk menjawab SPM nanti.

“Diharapkan juga semua pihak dapat memberikan semangat dan sokongan padu kepada calon SPM 2020, agar kami kekal bersemangat pada waktu yang genting ini,” ujarnya.

Nada sama disuarakan Norbalqis Fitri Mohd Shah, 18, yang mengakui masa yang ada kian suntuk untuk melakukan pecutan terakhir menghadapi SPM.

Pelajar SMK Tun Tijah bagaimanapun menarik nafas lega kerana sekolah kembali dibuka untuk membolehkan sesi pembelajaran secara bersemuka di antara pelajar dan guru dapat dilakukan sebelum menghadapi peperiksaan.

“Sebelum ini memang susah sebab bila ulang kaji pelajaran dan ada subjek yang kita tak faham, sukar untuk kita dapatkan penjelasan. Nak tanya kawan-kawan pun ada kekangan sebab ada juga yang tidak mempunyai kemudahan Internet.

“Jadi, bila sekolah mula dibuka memang kami legalah. Walaupun dikatakan masa yang ada kian suntuk, namun diharap kami dapat melakukan yang terbaik bagi memastikan mental dan fizikal kami bersedia untuk menduduki SPM bulan depan,” katanya.

NORBALQIS lega dapat mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka mulai hari ini bagi mempersiap diri menghadapi SPM

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan pindaan tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada 22 Februari 2021.

Manakala Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak ke 8 Mac 2021 ekoran penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Views:

854
Kongsi :
Previous post PdPR: Cabaran buat guru, ibu bapa dan murid pun bermula
Next post Peniaga nyaris rentung dalam kebakaran kedai makan
Ubah saiz-+=