Calon SPM 2020 individu hebat, duduki peperiksaan dalam pandemik COVID-19
KUALA LUMPUR 10 Jun- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang menerima keputusan hari ini sebagai individu hebat yang menduduki peperiksaan dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik COVID-19.
Muhyiddin menerusi hantaran Facebook hari ini, berkata beliau berbangga dengan calon SPM 2020 yang berdepan cabaran berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, saya mengambil maklum bahawa keputusan SPM tahun 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun. Anda semua diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi.
“Bagaimanapun, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa.
“Sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan. Namun kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat,” katanya.
Beliau berpesan bahawa perjalanan dan perjuangan hidup mereka baru bermula dan banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.
“Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin,” katanya
Selain mengucapkan tahniah kepada calon SPM 2020, Muhyiddin turut berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa mencabar ini.
Muhyiddin berkata ini kerana ibu bapa dan guru-guru berusaha berlipat kali ganda menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.