Sorting by

×

Calon SPM 2020 cukup istimewa – Radzi

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang akan menduduki peperiksaan Isnin ini, disifatkan cukup istimewa di hati Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin.

Dalam temu bualnya menerusi Buletin Didik Edisi Khas SPM, yang disiarkan secara langsung menerusi DidikTV KPM sebentar tadi, beliau menyifatkan calon kali ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya terpaksa menduduki peperiksaan dalam suasana berbeza berbanding sebelum ini.

Ujarnya, calon SPM 2020 bukan sahaja perlu menghadapi sesi pembelajaran dalam norma baharu, bahkan suasana di dewan peperiksaan juga cukup ketara berbanding peperiksaan terdahulu.

Beliau mengambil contoh susunan meja dalam dewan peperiksaan yang dahulunya dijarakkan 0.8 meter setiap seorang tetapi untuk kali ini jarak tersebut diubah kepada 1.5 meter bagi menjaga keselamatan semua calon.

“Jarak yang lebih jauh ini bertujuan untuk kita kurangkan risiko jangkitan. Bayangkan nak meniru atau nak melihat kawan di sebelah pun sudah sukar kali ini.

“Selain itu, kalau dahulu kita hanya ada satu dewan peperiksaan sahaja, tetapi kali ini berubah sama sekali. Bukan sahaja akan ada dewan peperiksaan, malah kita juga menyediakan satu bilik khas untuk calon bergejala ringan, bilik isolasi untuk pelajar yang perlu diasingkan dann juga kita ada bilik alternatif sekiranya berlaku sesuatu dalam dewan peperiksaan.

“Tidak cukup itu, setiap calon yang datang juga perlu mengisi borang deklarasi dan diambil suhu setiap kali sampai ke sekolah untuk menduduki peperiksaan,” katanya.

Justeru, beliau meminta ibu bapa untuk tidak berasa risau dengan tahap keselamatan anak-anak mereka memandangkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sudah menyediakan prosedur opersi standard (SOP) yang cukup ketat.

Dalam temu bual itu, Radzi turut menitipkan pesanan dan amanat terakhir kepada calon SPM 2020 agar sentiasa menjaga kesihatan dan tidak terlalu tertekan pada hari-hari terakhir sebelum menduduki peperiksaan.

“Saya berharap semua agar menjadikan hari-hari terakhir ini sebagai tempoh bertenang dan memastikan rehat yang cukup memandangkan tempoh untuk ‘berperang’ dalam peperiksaan cukup panjang iaitu selama 30 hari.

“Insya-Allah dengan usaha yang telah dilakukan, kami di pihak KPM akan mendoakan kecemerlangan semua anak-anak kita yang akan menduduki peperiksaan di luar sana,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

614
Kongsi :
Previous post SPM 2020: Hampir 50,000 guru terlibat di belakang tabir
Next post PKPB: Operasi R&R dilanjutkan hingga 12 tengah malam
Ubah saiz-+=