Sorting by

×

Calon Presiden MUSA: “Beri saya masa…” – Idris

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 16 Dis. – “Beri saya masa mempertimbangkannya”.

Itu respon Datuk Seri Utama Idris Haron berhubung desas-desus yang mengaitkan namanya bakal dipilih menjawat jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) pada Kongres ke-65 badan induk itu, Ahad ini.

Ketika dihubungi Melaka Hari Ini, beliau mengakui ditawarkan jawatan berkenaan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang juga Presiden MUSA, baru-baru ini.

Namun, beliau belum dapat memberikan keputusan mengenai tawaran tersebut dan hanya akan bersetuju apabila sudah bersedia kelak.

“Saya amat memahami kehendak Ketua Menteri serta harapan besar yang diletakkan peminat-peminat bola sepak Melaka.

“Tapi buat masa ini, biarlah Presiden meneruskan tugasnya dahulu di dalam MUSA. Saya sentiasa bersedia membantu sekiranya diperlukan pada bila-bila masa sama ada berjawatan atau tidak.

“InsyaAllah apabila sudah bersedia kelak, saya akan bertemu dengan Ketua Menteri sendiri berhubung tawaran tersebut,” katanya.

Terdahulu, nama Idris yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri hangat menjadi sebutan peminat skuad Hang Tuah apabila dikatakan menjadi individu pertama yang dipilih Sulaiman untuk menggalas kerusi nombor satu badan induk itu.

Sulaiman dikatakan meminta Idris mengambil alih tugas tersebut kerana mahu memberi fokus penuh kepada tanggungjawab menerajui Negeri Melaka.

Untuk rekod, Idris bukan lagi nama asing dalam kalangan peminat Melaka United memandangkan beliau pernah menjadi figura yang bertanggungjawab mengubah landskap bola sepak negeri ini daripada beraksi dalam saingan liga paling bawah sehinggalah mendaki tangga untuk naik ke saingan liga tertinggi seperti yang ada sekarang.

Sepanjang memimpin MUSA, Idris telah berjaya membantu Melaka United bergelar juara selama dua musim berturut-turut iaitu menjuarai Liga FAM 2015 dan Liga Premier 2016.

Views:

677
Kongsi :
Previous post Siapa punya kambing?
Next post Polis Melaka akan laksana operasi pantau aktiviti berbasikal
Ubah saiz-+=