![Whatsapp Image 2021 10 27 At 9.48.39 Pm](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2021/10/WhatsApp-Image-2021-10-27-at-9.48.39-PM.jpeg?v=1635342634)
Calon BN perlu ada ciri WALI
KUALA LUMPUR 27 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu mempunyai ciri ‘WALI’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, calon itu juga perlu memiliki sifat wali Allah iaitu mempunyai ilmu yang boleh diterima semua agama, kaum dan keturunan bagi rakyat Melaka.
“Saya telah memberitahu jawatankuasa pilihan raya biarpun manifesto pendek tetapi lekat dihati, ‘something doable’ sebabnya manifesto ini akan dibawa oleh calon-calon sebagai hidangan kepada pengundi di tempat mereka.
“Calon-calon ini mesti ada sifat WALI, ‘winnable’, ‘acceptable’ and ‘likable’, dan jangan ada ‘under table’ atau ada ‘cable’.
“Wali… sifat wali Allah ertinya yang mempunyai ilmu yang boleh diterima oleh semua agama, semua kaum, semua keturunan di negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Melaka 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata meskipun BN akan terus menjadi pilihan pengundi di negeri Melaka namun faktor calon adalah penentu kepada kemenangan parti.
“Baik MCA, MIC ataupun di peringkat PDM (Pusat Daerah Mengundi), atau di peringkat DUN (Dewan Undang Negeri), jangan fikir bahawa ‘favouritism’ akan dilakukan dalam pemilihan calon.
“Tidak ada calon Datuk Seri Ab Rauf (Yusoh), tidak ada calon hanya pilihan Datuk Seri Sulaiman (Md Ali), tidak ada calon pilihan Datuk Seri Mohamad Hasan atau pilihan Zahid atau Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob), ia adalah calon BN yang wajib kita menangkan dalam PRN Melaka.
“Kita harus melihat kebolehmenangan adalah merupakan faktor utama latar belakang seseorang itu, bukan semestinya orang itu tidak baik tetapi menghidangkan sesuatu yang baharu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, bagi muka lama bagaimanapun tidak perlu berkecil hati kerana parti mempunyai tempat untuk golongan itu.
Jelasnya, calon muka baharu perlu menghormati muka lama dan begitu juga sebaliknya kerana hubungan yang baik itu bakal menterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya itu.
“Saya yakin kali ini perubahan satu gelombang politik tanah air yang akan bermula di negeri Melaka, kerana di sinilah segala-galnya bermula… di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.