Sorting by

×

Calon BN diharap fahami, terjemah manifesto kepada rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLUANG, 7 Nov –  Calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu memahami manifesto gabungan itu dan menterjemahkannya dengan jelas kepada rakyat bagi mengelakkan ia menjadi janji-janji kosong.

Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata manifesto BN itu penting untuk dikaji secara teliti oleh semua calon termasuk dirinya selain jentera yang bekerja untuk memenangkan calon, supaya mereka melihat manifesto berkenaan sebagai sesuatu yang serius.

Hishammuddin yang juga calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong berkata sekiranya manifesto itu tidak difahami, BN akan disamakan seperti segelintir pihak yang hanya menjanjikan perkara yang akhirnya tidak dapat ditunaikan. 

“Dalam kita nak ke hadapan ini, kita mahu semua calon membawa manifesto (bila bertemu rakyat) kerana ini merupakan janji kita kepada rakyat.

“(Dan) sekiranya janji itu tidak difahami, ia tidak dapat diterjemahkan di kawasan masing-masing,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera BN Parlimen Simpang Renggam di Jalan Muafakat di sini malam ini.

Turut hadir pada pelancaran jentera ialah Pengerusi BN Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Jadi kita (calon) akan teliti dalam sehari lagi, kita akan pastikan semua gerakan di semua Parlimen senada seirama kerana ini janji kepada rakyat dan bukan satu permainan,” kata Hishammuddin.

Malam ini, BN melancarkan manifesto yang menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN atau ringkasnya PADU secara dalam talian.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata PADU ialah tawaran baharu yang segar kepada rakyat Malaysia, mengandungi 99 amal dan usaha BN bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1460
Kongsi :
Previous post Tram di Melaka boleh direalisasikan jika kerajaan stabil
Next post Mahu Masjid Tanah lebih bersih – Abdul Hakim
Ubah saiz-+=