Caj murah khidmat orang gaji dalam talian, taktik penipuan untuk jerat mangsa
Bercakap kepada Bernama, mangsa Hariyati Arifin, 61, berkata dalam kejadian minggu lepas, dia terlihat sebuah iklan perkhidmatan orang gaji ‘Easymaid’ di Facebook tanpa menyedari ia adalah klon kepada aplikasi perkhidmatan sebenar yang sah iaitu Maideasy.
Kali pertama terperangkap dalam kancah scammer, Hariyati berkata sebelum ini dia tidak cakna mengenai sebarang insiden sedemikian kerana mengetahui aplikasi seperti Maideasy, Grabmaid dan beberapa lagi aplikasi seumpama itu adalah sah tambahan pula, kenalannya turut berkongsi pengalaman positif menggunakan perkhidmatan berkenaan.
“Saya terjumpa dengan ‘perkhidmatan’ itu di Facebook dan tertarik dengan kadar harga yang ditetapkan, lalu klik pada iklan berkenaan sebelum dibawa ke aplikasi WhatsApp. Kemudian, saya telah berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai Alex.
“Keupayaan Alex berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris, jelas tidak menunjukkan sebarang keraguan. Alex beritahu dia memahami keadaan ekonomi sekarang dan menawarkan kadar caj yang jauh lebih murah iaitu RM16 sejam dan RM30 bagi dua jam termasuk sanitasi,” katanya sambil membandingkan kos bagi perkhidmatan sama oleh warga Indonesia di kawasan kediamannya adalah RM30 sejam.
Alex kemudian menghantar satu pautan, namun kerana kurang mahir, Hariyati meminta pertolongan anaknya untuk membuat tempahan dengan bayaran awal di aplikasi Maybank2u sebanyak RM20 seperti diajar Alex melalui panggilan telefon.
“Alex janji maid akan datang keesokan paginya. Kebetulan, malam itu anak saya ada terbaca beberapa kes penipuan maid online di media sosial. Kami yang tidak sedap hati kemudian buat semakan di akaun bank dan mendapati ribuan ringgit telah lesap tanpa menerima sebarang notifikasi,” katanya.
Hariyati berkata laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam dan Maybank memaklumkan sebanyak tiga transaksi telah dibuat dalam tempoh sejam pada malam kejadian.
Mengesahkan laporan oleh Hariyati, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi Bernama berkata sebanyak empat laporan diterima pihaknya berkait perkhidmatan pembersihan sepanjang tahun ini dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan taktik terbaharu scammer itu.
“Scammer menggunakan kaedah phishing dengan membuat website dan pautan palsu sebelum meminta mangsa membuat pembayaran secara dalam talian. Aplikasi tersebut (perkhidmatan pembersihan klon) mempunyai malware yang boleh mencuri maklumat ID dan password bank mangsa,” katanya.
Tidak menafikan tindak-tanduk scammer kini semakin kreatif, penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim pula berkata bagaimanapun, ia tidak ‘menghalalkan’ orang ramai untuk mudah percaya lebih-lebih lagi apabila teknik seperti perdayaan (spoofing) dan phishing semakin kerap terjadi ketika ini.
“Begitu juga dengan scam orang gaji ini apabila pembayaran telah dibuat tetapi perkhidmatan tidak diberi dan kemudian tidak dapat dikesan,” katanya.
Justeru, bagi mengelak daripada terus menjadi mangsa, beliau mengesyorkan orang ramai supaya menyemak akaun bank dan nombor telefon yang diterima terlebih dahulu menerusi aplikasi Semak Mule oleh Polis Diraja Malaysia sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Orang ramai khususnya pengguna dinasihatkan untuk menggunakan Semak Mule ini sebagai cara untuk mengesan scammer dengan menyemak nombor akaun ataupun nombor telefon yang diberikan sama ada ia sudah banyak dilaporkan.
“Kedua dinasihatkan juga supaya semak laman sesawang syarikat tersebut. Kalau dia ada syarikat sudah tentu ada laman sesawangnya. Jadi, ini adalah protokol yang patut kita buat,” katanya.
Baru-baru ini, menerusi hantaran di Instagram dan Facebook, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan scam orang gaji dengan menyenaraikan lapan aplikasi yang disyaki terlibat dengan kegiatan scam tersebut.
Bagaimanapun, Grabmaid dan Maideasy yang turut disenaraikan KPDNHEP dalam hantaran tersebut telah membuat penafian di ruangan komen serta menjelaskan bahawa laporan polis yang dibuat ialah terhadap aplikasi klon yang meniru jenama mereka.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.