CAHAYA JINGGA TANDA SOLIDARITI KESELAMATAN PESAKIT

Masa Membaca:52 Saat

AYER KEROH 19 September – Bangunan Graha Makmur Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, dilimpahi cahaya berwarna jingga sebagai tanda solidariti terhadap keselamatan pesakit.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, bangunan itu dipilih sebagai bangunan ikonik nyalaan utama cahaya jingga sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Malaysia pada tahun ini.

“Nyalaan lampu (cahaya) ini untuk menghantar mesej bahawa Malaysia komited menjadikan keselamatan pesakit sebagai agenda utama kesihatan dengan memastikan semua pesakit mendapat diagnosis yang tepat.

“Tema ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah ‘improving diagnosis for patient safety’ dan diraikan dengan limpahan cahaya jingga sebagai tanda solidariti terhadap keselamatan pesakit.

“Justeru MBMB bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka untuk melaksanakan inisiatif ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Shadan telah melakukan simbolik nyalaan lampu berkenaan di Dataran Bandaraya MBMB di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob dan Timbalan Pengarah Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Dr. Azlihanis Abdul Hadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

84
Kongsi :
Previous post ACARA MENARIK SETIAP BULAN DI MENARA TAMING SARI
Next post DURIAN TUNGGAL SEMAKIN ‘RIUH’
Ubah saiz-+=