Cahaya Deepavali buat anak kurang bernasib baik
DUYONG 10 November – Deepavali tahun ini mungkin lebih bermakna buat anak-anak kurang bernasib baik dari Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel, Semabok, di sini, apabila mereka disantuni golongan prihatin.
Jelas terpancar keceriaan pada raut wajah anak-anak ini apabila diraikan dalam satu majlis, selain turut menerima sumbangan daripada Kilang Tepung Mahas (M) Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Mahas, Datuk R Subramaniam berkata, Program Sinar Cahaya Deepavali itu merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan pada setiap tahun.
Katanya, menjelang Deepavali, pihaknya mahu memastikan masyarakat India kurang bernasib baik di negeri ini tidak dipinggirkan.
“Deepavali merupakan salah satu simbol keunikan negara kita yang mencerminkan kepelbagaian dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.
“Tatkala kita meraikan Deepavali dengan penuh kemeriahan, kita harus tidak lupa akan golongan yang kurang bernasib. Justeru, program ini diadakan sebagai acara tahunan untuk membantu golongan sedemikian,” katanya.
Tambah Subramaniam, selain Deepavali, syarikatnya turut menyalurkan bantuan dan sumbangan pada perayaan-perayaan lain termasuklah Hari Raya Aidilfitri dan Krismas.
“Selain itu, kita turut menyantuni keluarga yang terkesan akibat bencana seperti banjir dan lain-lain lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.