CADANGAN JONKER WALK 2.0 PERLU DITELITI, KAJIAN MENDALAM
AYER KEROH 27 Januari – Cadangan untuk menjenamakan Jalan Hang Tuah menjadi kawasan pelancongan berkonsepkan ‘Jonker Walk 2.0’ perlu dibuat kajian secara menyeluruh.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, memandangkan perkara itu baru sahaja dicadangkan, pihaknya perlu membuat penelitian lanjut.
Meskipun cadangan tersebut bersifat kepada penambahbaikan, namun beliau menjelaskan kajian secara mendalam perlu dibuat bagi memastikan ia tidak merosakkan suasana perniagaan lain.
“Jadi apa pun ia mestilah melihat kepada kesesuaian dahulu, pelbagai faktor harus dilihat menerusi pelbagai kajian mendalam.
“Jonker Walk yang sedia ada ini tidak kurang hebatnya sudah menjadi satu produk pelancongan peringkat antarabangsa, rata-rata pelancong luar datang memang akan ke situ.
“Perkara ini sebenarnya belum sampai ke pihak saya dan dimaklumkan cadangan itu baru diutarakan namun kita ambil maklum dan perlukan penelitian supaya ia tidak mencetuskan sebarang permasalahan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Siaga Raya Bomba Sempena Tahun Baru Cina 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Peringkat Negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah JBPM Melaka Penolong Persuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz serta kenamaan lain.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong mencadangkan agar Jalan Hang Tuah dijenamakan semula menjadi pusat tarikan pelancong berkonsepkan Jonker Walk.
Menurut Chee Leong, kawasan yang mungkin boleh dikenali sebagai Jonker Walk 2.0 itu berpotensi merancakkan lagi ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.