Cadangan atasi masalah banjir di Durian Tunggal dibawa kepada PM
ALOR GAJAH, 22 April – Beberapa cadangan mengenai usaha mengatasi masalah banjir terutamanya di Durian Tunggal di sini akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peruntukan khas dapat disalurkan dan tindakan segera dapat diambil, kata Setiausaha Politik Kanan Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata pihaknya telah berbincang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan selain jabatan dan agensi berkaitan mengenai langkah itu dalam menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkanaan.
“Kita akan meneliti isu-isu banjir ini supaya tindakan secara komprehensif dapat diambil, malah Perdana Menteri daripada awal telah menyatakan komitmen kerajaan untuk membangunkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) demi kepentingan rakyat.
“Datuk Seri Anwar juga maklum isu banjir ini merupakan satu masalah yang sangat membebankan penduduk dari segi kewangan terutama pasca banjir,” katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan Sumbangan Kecemasan Perdana Menteri Kepada Mangsa Bencana Banjir di Melaka, dalam majlis yang turut dihadiri ADUN Durian Tunggal Zahari Abd Kalil serta Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Melaka Megat Azlani Megat Ramli.
Sementara itu Shamsul beliau berkata 13 keluarga terjejas akibat banjir menerima Sumbangan Kecemasan Perdana Menteri yang memperuntukkan RM500 kepada setiap penerima.
“Sumbangan ini adalah bantuan tambahan selain yang diberikan oleh kerajaan negeri susulan situasi dihadapi mereka dan ia mengundang keprihatinan Perdana Menteri, supaya ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.