Sorting by

×

Cadang wujudkan jalan empat lorong di Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

MASJID TANAH 1 Mei. – Kesesakan yang berlaku di sekitar Pekan Masjid Tanah setiap kali tiba musim perayaan dan cuti umum boleh diatasi dengan pembinaan laluan baharu yang lebih sistematik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, justeru laluan baharu empat lorong yang boleh diakses daripada jalan utama dan lebuh raya negeri ini antara yang dicadangkan pihaknya kepada Jabatan Kerja Raya, baru-baru ini.

SULAIMAN… kerajaan negeri cadang pembinaan jalan empat lorong atasi kesesakan di sekitar pekan Masjid Tanah kepada JKR.

Sebagai contoh, katanya, laluan yang dicadangkan adalah dari Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) arah Alor Gajah yang boleh terus sampai ke Lubok China seiring dengan cadangan penubuhan daerah baharu di Masjid Tanah.

“Sebelum ini Masjid Tanah tidak mempunyai banyak laluan yang mudah diakses menerusi jalan-jalan utama dan lebuh raya negeri ini, sedangkan kepadatan penduduk dan jumlah kenderaan di kawasan ini semakin bertambah.

“Setiap kali Ramadan dan menjelang hari raya, kita dapat lihat Pekan Masjid Tanah akan menjadi sesak, jadi sebab itulah kita merasakan perlunya dibina laluan baharu empat lorong yang mudah diakses ke kawasan ini.

“Selain itu, kita juga berharap lebuh raya pesisir pantai (coastal highway) yang telah diumumkan sebelum ini dari Kuala Linggi hingga ke Kota Laksamana dapat direalisasikan bagi menyokong hasrat memajukan kawasan Masjid Tanah,” katanya.

SULAIMAN berbual dengan seorang peniaga di Pasar Tani Masjid Tanah.

Beliau berkata demikian selepas Program Jualan MyRakyat Melaka Agro Market di Pasar Tani, Masjid Tanah, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) , Datuk Zainal Abidin Razalli dan Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu menyambut baik penganjuran pasar tani di kawasan tersebut yang membolehkan orang ramai membeli barangan keperluan berasaskan pertanian dan perikanan dengan harga rendah.

PRIHATIN… Sulaiman menyampaikan replika cek bantuan kepada peserta Projek Karavan Tani.

Katanya, menjelang Aidilfitri nanti pihak FAMA juga akan melaksanakan beberapa program seperti Jualan Pra Syawal melalui outlet FAMA bagi merancakkan ekonomi usahawan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

768
Kongsi :
Previous post 1,400 rakyat Melaka kurang berkemampuan bakal terima sumbangan Aidilfitri
Next post Kembara Ramadan PKNM santuni golongan kurang bernasib baik
Ubah saiz-+=