Cadang warta Pulau Undan sebagai Taman Laut Negara
DUYONG 16 Sept – Pulau Undan, iaitu salah satu gugusan pulau berhampiran Pulau Besar dicadangkan untuk diwarta sebagai Taman Laut Negara sedikit masa lagi.
Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata langkah itu diambil sebagai salah satu inisiatif memelihara ekosistem dan khazanah marin di perairan Melaka.
Katanya, langkah itu juga diyakini menjadi antara alternatif untuk membantu meningkatkan sumber perikanan negeri yang pada masa kini berada di tahap kurang memuaskan.
“Kelebihan Taman Laut (Negara) ini ialah ia dapat memelihara ekosistem marin dengan segala aktiviti perikanan tidak dibenarkan di situ, sekali gus membolehkan ia menjadi habitat perlindungan dan pembiakan ikan.
“Pada masa sama, ia juga boleh dibangunkan menjadi kawasan tumpuan pelancongan yang baharu untuk aktiviti seperti selaman skuba dan sebagainya.
“Insya-Allah pada bulan depan kita akan turun bersama kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan untuk membuat tinjauan di Pulau Undan untuk melihat sama ada ia sesuai dijadikan Taman Laut.
“Selepas itu, kita perlu mendapatkan persetujuan kerajaan negeri sebelum dibawa ke peringkat atasan bagi proses pewartaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan MAFI Prihatin di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Muara Sungai Duyong, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pertanian negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah LKIM Melaka, Rosli Mustapa.
Dalam majlis itu, sebanyak 541 kotak makanan telah diedarkan kepada nelayan kawasan Melaka Tengah dengan peruntukan sebanyak RM27,050.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pihaknya bersama LKIM akan terus menggiatkan usaha mewujudkan tukun-tukun tiruan di perairan Melaka sebagai langkah untuk meningkatkan sumber perikanan di negeri ini.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan Melaka hanya berupaya menampung 22 peratus hasil perikanan dan selebihnya perlu dibeli dari negeri-negeri lain.
“Dianggarkan kita terpaksa membeli lebih kurang 30 tan bekalan ikan dan hasil laut secara harian bagi menampung permintaan di negeri ini.
“Diharap dengan tukun-tukun yang akan dibina nanti, ia juga dapat memulihkan sektor perikanan di Melaka,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.