Cadang taja caruman Perkeso untuk pekebun kecil

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dicadang menaja caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada golongan pekebun selama lima tahun.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian Dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, cadangan itu diusulkan bagi menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian.

Katanya, tajaan itu juga sekali gus menunjukkan keprihatinan RISDA, selain memberi jaminan keselamatan kepada pekebun kecil di seluruh negara dan Negeri Melaka khususnya.

“Dimaklumkan RISDA mengesan keluasan kira-kira 8,000 hektar getah matang tidak bertoreh di Melaka melibatkan lebih 6,000 pekebun kecil menerusi banci 2013.

“Oleh itu, saya melihat dengan tajaan caruman Perkeso untuk lima tahun, sekurang-kurangnya petani atau pekebun muda ini merasa terjamin.

“Sebagai contoh, penanaman pokok getah ini makan masa hingga empat ke lima tahun untuk matang, jadi tempoh caruman itu selama lima tahun sahaja, selepas itu mereka (petani) boleh mencarum sendiri kepada PERKESO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) anjuran Pejabat RISDA Melaka 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Produktiviti dan Pemasaran RISDA, Noor Azan Mohd Noor dan Pengarah RISDA negeri, Muhd Khairuddahri Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata RISDA telah memberi peruntukan sebanyak RM1.377 juta pada tahun ini bagi membiayai perbelanjaan Program Skim Getah Matang (SGM).

“Pecahan peruntukan dibahagikan kepada program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) sebanyak RM563,040.00, Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) sebanyak RM590,370.00, Skim Insentif Lateks (SIL) sebanyak RM18,290.00 dan Kemudahan Infrastruktur Pemasaran (KIP) sebanyak RM205,600.00,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

866
Kongsi :
Previous post Kompleks Japerun berpindah ke Pekan Merlimau
Next post Dua kawasan rekod bacaan IPU tidak sihat setakat 9 pagi
Ubah saiz-+=