Cadang Sulaiman jadi Pengerusi UMNO Melaka bukan keputusan mesyuarat
BANDARAYA MELAKA 14 Mei – Kenyataan dikeluarkan Pemangku UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman yang mendakwa parti bahagian itu mencadangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu adalah tidak benar.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan berkata perkara dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan pada Khamis itu sebenarnya lebih bertumpu kepada program bahagian yang bakal dilaksanakan.
Katanya, cadangan untuk melantik Sulaiman juga tidak dibincangkan malah ahli yang hadir tidak berkesempatan untuk menyuarakan pendapat masing-masing.
“Perkara itu (cadangan melantik Sulaiman) dalam mesyuarat tidak ditanya seorang demi seorang pendapat masing-masing, malah Naib Ketua Bahagian, Datuk Mustafa Musa tidak ditanya pendapatnya, begitu juga tidak ditanya kepada saya.
“Kami tidak diberi ruang dan beliau (Datuk Rospandi) terus mengeluarkan kenyataan UMNO Alor Gajah minta Sulaiman ganti Ab Rauf (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh),” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri berkata pendirian Pemuda UMNO adalah jelas sekiranya terdapat mana-mana pihak yang membuat tuduhan tanpa asas, pihaknya akan memanjangkan perkara itu kepada Lembaga Disiplin parti untuk siasatan lanjut.
Katanya, sekiranya ketua bahagian tidak berpuas hati lebih elok sekiranya berjumpa sendiri dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berbincang.
“Perkara itu lebih tertib dan beradab. Setakat ini hanya satu akuan bersumpah (SD) yang saya tanda tangani iaitu menyokong Datuk Seri Sulaiman sebagai Ketua Menteri, tidak ada SD lain yang saya tanda tangani.
Semalam, media semalam melaporkan UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, menggantikan Ab Rauf.
Rospandi dilaporkan berkata, keputusan tersebut diputuskan sebulat suara dan mendapat sokongan penuh ketika Mesyuarat UMNO Bahagian, semalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.