
Cadang pasar malam dibenar beroperasi – MEDAC
ALOR GAJAH 6 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kebenaran pasar malam di seluruh negara beroperasi lebih awal.
Timbalan Menterinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun kebanyakan negeri masih melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan 2 ketika ini, namun beliau melihat adanya keperluan untuk operasi pasar malam dibenarkan.
Katanya, melihat kepada perkembangan Program Imunisasi COVID-19 (PICK) yang menunjukkan angka memberangsangkan pada masa kini, tidak salah sekiranya peniaga pasar malam dan usahawan lain diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya.

Foto: MR. Azli
“Peniaga pasar malam merupakan antara lebih daripada sejuta usahawan mikro yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi, sebab itulah kita mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk sama-sama mempertimbangkan agar mereka ini dibenarkan berniaga memandangkan hari ini kita lihat dengan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) dan peningkatan vaksin seakan membolehkan ia dibuka semula.
“Kita telah membawa perkara ini di peringkat mesyuarat dan kita berharap cadangan kita dapat diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Kampung Orang Asli Bukit Payung, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, pihak MEDAC menerusi sembilan buah agensi di bawahnya turut menyediakan pelbagai inisiatif lain seperti tawaran, pembiayaan, sokongan dan latihan kepada para usahawan di seluruh negara dalam mendepani pandemik COVID-19.

Jelasnya, antara inisiatif yang diberi penekanan ialah membuka ruang dan peluang kepada para usahawan beralih daripada sektor ‘offline’ kepada digitalisasi.
“Ini usaha yang sangat penting untuk membantu usahawan kerana apabila kita sudah melalui fasa 3 dan 4 PPN dan banyak sektor sudah dibuka, maka para usahawan ini dapat bersedia lebih awal.
“Kita amat berharap semua program dan pembiayaan yang disediakan pihak kerajaan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para usahawan dan pada masa sama mereka juga boleh menghubungi ‘one stop centre’ MEDAC untuk mendapatkan sebarang pandangan, nasihat ataupun rujukan,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.