Sorting by

×

Cadang pasang GPS pada bot nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Jun – Cadangan melengkapkan sistem navigasi penentududukan sejagat (GPS) pada setiap bot nelayan di negeri ini perlu diperincikan memandangkan kos pemilikan alat itu yang agak tinggi.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun kos pemilikan GPS agak tinggi namun ia perlu diperkenalkan berikutan banyak memberikan kebaikan kepada nelayan.

Katanya, kemampuan GPS mengenal pasti kedudukan semasa membantu nelayan untuk meluaskan lagi lokasi aktiviti perikanan, sekali gus meningkatkan hasil tangkapan.

“Kita akan lihat bagaimana kerajaan boleh membantu nelayan untuk memiliki GPS, sebenarnya alat ini sudah digunakan secara meluas oleh komuniti nelayan di beberapa negeri lain.

“Mungkin boleh tawarkan menerusi pinjaman koperasi atau tabung nelayan, sekurang-kurangnya satu tempat akan ada sebuah bot besar lengkap dengan GPS supaya mereka boleh pergi lebih jauh ketengah laut untuk menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Dialog Bersama Nelayan dan Penyampaian Bantuan One-off yang turut dihadiri Timbalannya Low Chee Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi@ Mohd Hashim, di Japerun Pantai Kundor, di sini, semalam.

Dr. Muhamad Akmal tidak menafikan hasil tangkapan ikan di pesisir pantai berkurangan berikutan aktiviti perkapalan di perairan Selat Melaka.

“Jadi dengan adanya GPS mungkin nelayan boleh teroka kawasan baharu, sekurang-kurangnya boleh kurangkan kesesakan akibat kapal berlabuh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1657
Kongsi :
Previous post Lahirkan nelayan moden, berdikari
Next post PM Anwar tidak puas hati pelaksanaan projek kecil, arah disegerakan
Ubah saiz-+=