Cadang nelayan terima suntikan vaksin fasa 2

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KLEBANG 27 Feb. – Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan agar nelayan diberi keistimewaan menerima suntikan vaksin COVID-19 fasa 2 yang dijadualkan Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, ia kerana kerjaya itu disifatkan berisiko dan sering berdepan dengan ramai orang termasuk peraih dan pembeli.

“Kita tahu untuk fasa 1 bermula bulan ini, vaksin akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan seperti kakitangan perubatan dan anggota beruniform selain wakil rakyat seperti saya yang akan disuntik pada 4 Mac depan.

“Tetapi saya berharap untuk fasa 2 nanti, golongan nelayan akan dipertimbangkan untuk menerima vaksin dan kita di pihak kerajaan negeri juga akan usulkan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui meninjau kerja naik taraf jeti nelayan di Klebang, lewat petang semalam.

Menurutnya, terdapat seramai 1,129 nelayan berdaftar telah direkodkan sehingga Februari tahun ini di Melaka.

Justeru, beliau meminta semua nelayan di negeri ini memberikan sokongan terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tanpa berasa takut terhadap usaha kerajaan memerangi wabak tersebut.

“Bila kerajaan umumkan pemberian vaksin, saya harap semua ambillah dan berikan sokongan. Termasuk komuniti nelayan.

“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melawan COVID-19 dan memastikan golongan tidak lagi dijangkiti. Dengan usaha ini, saya berharap golongan nelayan boleh turun ke laut dengan berlapang dada tanpa ada rasa takut-takut lagi,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post Khairy individu pertama akan ambil suntikan vaksin selain Pfizer-BioNTech
Next post Ketibaan vaksin Sinovac jadi pencapaian penting bagi Pharmaniaga pelopori penghasilan vaksin
Ubah saiz-+=