Sorting by

×

Cadang KKM tambah PPV di luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Cadangan bagi menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan terpencil luar bandar mampu membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Covid-19 negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil kira pandangan itu kerana kebanyakan individu di luar bandar menghadapi kesukaran untuk hadir ke PPV sedia ada disebabkan jarak yang jauh.

“Penubuhan PPV di kawasan yang jauh dari lokasi utama seperti di Asahan atau Kuala Linggi perlu diberi perhatian kerana ia memudahkan penduduk yang layak menerima vaksin hadir tanpa perlu pergi jauh ke lokasi PPV yang ditetapkan.

“Bagaimanapun beberapa perkara perlu diambil kira termasuk stok bekalan vaksin yang diterima ke negeri ini sebelum menubuhkan PPV lain dan sekiranya ia seimbang, maka wajarlah KKM membuka beberapa lokasi PPV lain di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Abdul Ghafaar  yang juga Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri menyeru pembabitan lebih ramai sukarelawan bagi membantu petugas KKM dalam proses vaksinasi di PPV.

“Penyertaan sukarelawan ini menunjukkan keprihatinan masyarakat terhadap wabak yang menular negeri ini sekali gus memudahkan proses pengagihan di setiap PPV sedia ada.

“Kita berharap penyertaan sebagai sukarelawan ini mendapat sambutan positif selepas ini kerana program ini dijalankan meluas dan berperingkat dan memerlukan tenaga kerja bagi membantu KKM,” katanya.

Abdul Ghafar turut menasihatkan individu yang layak hadir menerima suntikan dan tidak terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin.

“Masyarakat tidak perlu percaya dengan ‘cakap kosong’ sesetengah pihak yang menolak vaksin di negara ini kerana setidaknya kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan rakyat terhindar daripada virus ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post 6,849 kes baharu, Selangor kekal catat kes tertinggi- KP Kesihatan
Next post Polis rakam keterangan EXCO didakwa langgar SOP
Ubah saiz-+=