Cadang bina penjara baharu, ganti bangunan lebih 100 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 21 Ogos – Jabatan Penjara Malaysia kini dalam perancangan untuk menggantikan beberapa penjara ‘tua’  di beberapa negeri yang berusia lebih 100 tahun.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, lapan buah penjara tua berusia lebih 100 tahun yang dibina sekitar era 1800-an masih digunakan ketika ini.

Katanya, kerana menggunakan rekaan lama ada antara penjara berkenaan yang ketika ini masih menggunakan ‘Bucket System’ atau bilik tahanan tidak mempunyai tandas.

“Antara penjara tertua yang kita cadang untuk penggantian bangunan baharu adalah Alor Setar, Pulau Pinang, Taiping, Seremban dan Batu Gajah, ia berikutan struktur asal yang semakin usang serta tidak relevan dengan keadaan semasa.

“Kita kerap menerima rungutan daripada pelbagai pihak mengenai keadaan penjara lama ini termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pameran Memoir Tuan Husain Beladar di Muzium Penjara Malaysia di Banda Hilir yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Menurut Ajidin, perancangan itu akan mengambil masa yang panjang kerana perlu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia akan datang.

“Berdasarkan hala tuju, kita ke arah menggantikan bangunan-bangunan ini, sekali gus keluar daripada ‘Bucket System’.

“Namun untuk penggantian bukan (mudah) dan mengambil masa yang lama untuk menjadikan sebuah penjara baharu malah perlu melalui Rancangan Malaysia akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post Masuk percuma ke Muzium Penjara 24 dan 25 Ogos ini
Next post Shayna Marianne kota janji hadiahkan emas untuk Melaka
Ubah saiz-+=