Cadang bina Muzium Melayu di Indonesia
AYER KEROH 8 Jun – Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Indonesia mencadangkan satu pembinaan Muzium Melayu dibina di negara Republik itu bagi mengukuhkan rumpun bangsa Melayu di nusantara.
Ketua Umum DMDI Indonesia, Datuk Said Aldi Al Idrus berkata, harapan yang dicadangkan sejak 2017 itu perlu dilaksanakan agar tradisi luhur budaya Melayu dapat diwarisi generasi akan datang.
“Saya berharap Muzium Melayu mampu dibangunkan di Indonesia supaya ia akan terkenal bahawa bangsa Indonesia dan Melayu merupakan warisan budaya yang perlu ditunjukkan kepada generasi muda.
“Itu merupakan antara agenda pengukuhan dalam penubuhan DMDI Indonesia.
“Kita harap selepas ini kesemua jawatankuasa tertinggi dapat merencana program-program yang dirancang bersama untuk meneruskan misi penyatuan rumpun Melayu di nusantara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelantikan Ketua DMDI Indonesia Bagi Tempoh 2023-2026 diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Said Aldi dilantik sebagai Ketua Umum DMDI Indonesia yang Ke-2 bagi tempoh 2023-2026 menggantikan penyandangnya, H. Herman Deru.
Pelantikan itu turut disaksikan Presiden DMDI, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Dalam pada itu, Said Aldi berharap kepimpinan baharu yang dilantik kali ini mampu membawa DMDI Indonesia ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, jawatan yang disandang merupakan suatu tanggungjawab dan bukan hanya sekadar nama dan pangkat.
“Kita perlu tekad dan laksanakan amanah ini sebaiknya malah setiap pemimpin perlu bekerja sepenuh hati kerana kita tidak mahu kepada semua yang dilantik hari ini bukan hanya mahu kepada nama sahaja.
“Kita semua harus bekerja sewajarnya dan jika tidak mampu silakan mengundur diri,” tegasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.