Cadang bank longgarkan syarat pinjaman perumahan – REHDA
AYER KEROH 11 Feb. – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) negeri menyarankan pihak bank melonggarkan syarat pembiayaan pinjaman perumahan di negeri ini khususnya bagi pembelian rumah pertama untuk diduduki.
Pengerusinya, Datuk Ng Choon Koon berkata, inisiatif itu diharap menjadi pemangkin untuk menggalakkan orang ramai membeli rumah dalam tempoh dua tahun ini khususnya anak jati Melaka kerana pihaknya menjangkakan peningkatan harga rumah antara 15 hingga 20 peratus selepas itu.
Menurutnya, peningkatan harga rumah pada masa depan berpunca daripada banyak faktor terutama kos bahan binaan yang meningkat dan kekurangan buruh asing untuk berkerja dalam sektor pembinaan.
“Kita akur dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 pihak bank perlu mengambil kira risiko dan pulangan dari pelanggan mereka, namun perkara ini perlu diperhalusi bagi memberi jaminan pelanggannya untuk memiliki rumah.
“Ini kerana kita dapati 40 peratus pemohon gagal mendapat pinjaman sehingga 90 peratus daripada pihak bank disebabkan syarat yang begitu ketat diberikan kepada pelanggannya termasuk perlu mengemukakan dokumen sampingan seperti slip gaji dan kaedah pinjaman bersama pasangan pemohon.
“Bank perlu mencari kaedah terbaik buat pelanggan kerana ada dalam kalangan pemohon yang bekerja sendiri, tidak berpendapatan tetap dan pendapatan rendah yang kekurangan dokumen pendapatan membuatkan mereka gagal memiliki rumah sendiri,”katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Choon Koon berkata, dua tahun ini adalah tempoh terbaik bagi memiliki rumah di negeri ini disebabkan harganya yang mampu milik, malah pelbagai inisiatif ditawarkan kerajaan negeri seperti Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang mengecualikan duti setem kepada pembeli.
“Bagi setiap projek perumahan yang dibangunkan dalam tempoh ini ia masih lagi pada paras mampu milik, namun dikhuatiri harga akan melonjak untuk projek perumahan baharu menjelang 2024 disebabkan faktor barangan binaan yang meningkat.
“Perkara ini berlaku kerana pembekal berdepan masalah kekurangan pekerja disebabkan pandemik COVID-19 sehingga menyukarkan proses pembuatan bahan binaan termasuk besi konkrit yang kebanyakannya perlu diimport.
“Selain itu, kekurangan tenaga buruh warga asing juga menjejaskan sektor pembinaan perumahan negara kerana pintu sempadan antarabangsa masih ditutup dalam tempoh ini,”katanya.