Cadang bangunkan pengkalan data tarik pelancong ke Melaka
TENGKERA 5 Mei – Pembinaan pengkalan data bagi pelancongan berulang atau ‘recurring tourism’ sedang giat dibincangkan dan akan dilaksanakan di Melaka.
Pengasas RichWorks, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata beliau akan membantu negeri yang berasaskan pelancongan itu untuk menarik lebih ramai lagi pelancong datang ke negeri ini.
Katanya, pengkalan data tersebut akan diguna pakai bukan sekadar untuk memudahkan pengiraan statistik pelancong yang datang, malahan dapat mengetahui maklumat pelancong tersebut.
“Selama ini pelancong datang, kita tidak ada data, kita tidak ada informasi, bila dia (pelancong) balik, kita tidak tahu siapa datang siapa balik, kita boleh kira sahaja statistik.
“Jadi apa yang saya cadangkan adalah kita akan bina satu pengkalan data bila datang je pelancong masuk Melaka, kita dapatkan nama, nombor telefon dan sedikit informasi dan apabila dia pulang, kita beri emel, ingatkan dia untuk datang kembali dan pergi ke lokasi yang dia tidak pernah datang lagi.
“Jika dalam perniagaan kita sebut ‘recurring tourism’, di mana pengunjung akan datang berkali-kali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman ibunya di Villa Mak Ayah di sini hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman turut hadir ke majlis tersebut.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Isterinya Datin Seri Utama Munira M Yusop.
Dalam pada itu, pakar pemasaran Asia dan mentor keusahawanan itu berkata, beliau dan pasukannya akan cuba untuk melahirkan lebih ramai usahawan di negeri ini untuk sampai ke peringkat lebih tinggi.
“Kita akan bantu peniaga di negeri ini khususnya untuk kembangkan perniagaan sehingga ke tahap luar negeri dan negara.
“Sebagai contoh, di Masjid Tanah ada usahawan kuih bahulu yang sudah lama meniaga dan mempunyai peminatnya sendiri, jadi kita akan bantu untuk peniaga itu pergi lebih jauh untuk pasarkan bahulu dia,” katanya.
Tambah Azizan lagi, beliau turut menyambut baik saranan Tun Mohd Ali untuk turut serta menyokong dan membantu dalam membina rangkaian entiti Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke luar negara.
“Tun Mohd Ali ada memberitahu untuk membantu DMDI, di mana ia memerlukan sokongan untuk membina rangkaian di banyak negara khususnya negara Islam.
“Saya kira itu satu saranan yang baik dan kita patut lebih agresif dalam membangunkan Islam dengan cara keusahawanan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.