Cadang anjur kursus khas kesan anak-anak istimewa di Tabika
AYER KEROH 26 Ogos – Kerajaan Negeri mencadangkan agar satu kursus khas diperkenalkan kepada guru-guru Tabika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk mengenal pasti anak-anak istimewa.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia memandangkan masih terdapat anak-anak istimewa seperti autisme tidak dikesan lebih awal dan hanya diketahui apabila memasuki sekolah rendah.
Kata beliau, menerusi pengesanan awal juga, anak-anak itu dapat diasuh lebih awal dalam menggilapkan potensi dan bakat istimewa mereka.
“Kadang-kadang ada ibu bapa terlepas pandang di rumah, jadi guru-guru inilah yang boleh memberi pendedahan dan bersama-sama mendidik mereka.
“Perlu dijelaskan bahawa pengesanan awal ini bukanlah untuk mengasingkan mereka, tetapi kita mahu memberikan ‘special treatment’ kepada anak-anak istimewa ini supaya potensi dan bakat mereka boleh digilap dan seterusnya dapat menguruskan diri pada masa akan datang.
“Kita cadangkan untuk peringkat awal kursus khas ini membabitkan guru-guru KEMAS terlebih dahulu dan Melaka akan menjadi perintisnya seawal tahun depan sebelum dikembangkan ke negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Hari Potensi Tabika/Taska KEMAS Peringkat Negeri Melaka 2023 di Menara Persekutuan Ayer Keroh.
Hadir sama, Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Anisah Saidin.
Sementara itu, dalam ucapannya, Dr. Muhamad Akmal turut berkongsi pengamalannya membesarkan anak autisme yang kini berusia sembilan tahun.
Kata beliau, walaupun pada awal dunianya dan isteri seakan ‘gelap’ memikirkan nasib anak sulungnya itu pada masa hadapan, namun berkat pendededahan awal dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak, anaknya itu kini mampu berdikari dan kini belajar di kelas sama aliran dengan kanak-kanak biasa.
Justeru, beliau meminta ibu bapa agar tidak berada dalam situasi ‘denial syndrome’ apabila mengesan anak mereka berbeza dengan anak-anak lain.
“Ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa perlu berani keluar mencari solusi. Jika anak tidak boleh membaca jangan terus cop mereka lembap, sebaliknya mereka perlu mencari sebab dan jalan penyelesaian.
“Dengan pendidikan awal kanak-kanak inilah kita boleh tahu nakat dan potensi mereka. Mungkin tidak dalam pelajaran tetapi mereka ada bakat-bakat lain yang boleh diketengahkan.
“Jadi, jangan pernah rasa anak kita kurang daripada orang lain kerana semua anak-anak ini ada anugerah dan kelebahan yang perlu dicungkil,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.