Cacar monyet: JKNK siap siaga lakukan ujian saringan di pintu sempadan
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata walaupun negara ini belum mengesan penyakit tersebut tetapi langkah awal ini perlu dilakukan segera susulan peningkatan kes cacar monyet di negara jiran, Thailand.
“Semua klinik kerajaan dan swasta perlu melaporkan segera kepada JKNK sekiranya terdapat kes cacar monyet di kawasan mereka supaya pencegahan awal dapat dilakukan.
“Dari segi maklumat yang kita peroleh setakat ini, kes yang dilaporkan di Thailand bukan berlaku di wilayah yang bersempadan dengan negara sebaliknya ia membabitkan kawasan di utara Thailand dan Bangkok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di pekarangan Wisma Persekutuan, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Thailand mengeluarkan amaran cacar monyet peringkat kebangsaan selepas mesyuarat tergempar agensi kesihatan dan menteri kesihatan awam pada 28 Julai lepas.
Setakat ini, sebanyak lima kes cacar monyet disahkan di Thailand dengan kes terbaharu membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata kes jangkitan penyakit seperti influenza (ILI) di Kelantan telah menunjukkan penurunan berbanding dua bulan lepas.
“Tiada lagi masalah kekurangan katil di hospital malah kes membabitkan ILI dapat ditangani dengan baik oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang bertugas,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.