Sorting by

×

CABUTAN BERTUAH TMM2024 TUNAI IMPIAN PEMAIN SEPAK TAKRAW PANDU KERETA ELEKTRIK

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 24 April – “Tergamam dan kelu sebaik melihat kenderaan elektrik (EV) diidamkan selama ini ada di depan mata. Selama ini saya hanya simpan angan-angan untuk memiliki sebuah kereta elektrik tetapi hari ini ia menjadi realiti,” kata pemenang cabutan bertuah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) Muhammad Hairul Hikam Abdul Wain, 29.

Muhammad Hairul Hikam, berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, dia langsung tidak menyangka kedatangannya ke Melaka pada hujung tahun lalu bagi menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024 membawa membawa tuah buat dirinya.

Katanya, dia layak untuk menyertai cabutan bertuah itu apabila memenuhi syarat ditetapkan pihak penganjur iaitu menginap dan bermalam di hotel di negeri ini.

“Ketika dihubungi wakil Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) pada Januari lalu saya sangka itu adalah panggilan daripada ‘scammer’. Sepatutnya kereta ini diserahkan pada Januari, tetapi disebabkan model sebelum ini tiada stok jadi digantikan dengan model BYD Atto 3 Ultra oleh penaja.

“Pada tanda harga RM129,000 memang saya tidak mampu untuk membelinya, sebaliknya cuma mampu simpan angan-angan sahaja. Selalu saya berangan-angan akan terjumpa wang dalam jumlah yang banyak jadi dapat membeli EV.

“Tidak sangka Allah hadirkan rezeki kepada saya dalam cara yang tidak disangka-sangka. Tidak sabar untuk pandu kereta baharu pulang ke hampung halaman,” katanya.

Pemain sepak takraw negeri Kedah itu ditemui pada Majlis Penyerahan Kereta BYD Atto Hadiah Cabutan Bertuah Tahun Melawat Melaka 2025 di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Kota Cemerlang, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri,  Datuk Zaidi Attan dengan diiringi Pengurus Besar BPP Nasrul Ahmad.

Menurutnya, peluang pertama kali memandu kereta dimenanginya itu memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana ia sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka dan hadir secara mengejut.

“Jauh di sudut hati saya hanya mampu mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Allah kerana hadirkan kesempatan ini. Insya-Allah saya akan menjaga dan hargai kereta ini dengan sebaiknya, selain itu terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Melaka dan penaja kereta iaitu Syarikat Scientex Heights Sdn Bhd,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2632
Kongsi :
Previous post 1,141 JEMAAH MELAKA TUNAI HAJI TAHUN INI, PALING MUDA 16 TAHUN