Cabutan bertuah meriahkan Rumah Terbuka DUN Gadek
GADEK 7 Mei – Cabutan bertuah memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek yang diadakan di Dataran Bandar Satelit Pulau Sebang di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam berkata pihaknya menyediakan lebih 20 juadah kepada pengunjung.
Katanya, antara juadah menarik adalah putu mayam, aiskrim serta pelbagai lagi juadah hari raya disajikan.
“Majlis bermula jam 11 pagi sehingga jam 3 petang, namun seawal jam 10 pagi orang ramai telah hadir memenuhi dataran ini.
“Lebih menarik kita buat cabutan bertuah, dan hadiah yang disediakan berupa barangan elektrik seperti kipas, periuk nasi, kuali dan pelbagai lagi.
“Sambutan luar biasa, pengunjung yang hadir dianggarkan hampir 5,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tersebut.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tiba kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Nordin, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Khalil serta kenamaan lain.
Terdahulu, Ab Rauf diiringi Shanmugam turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke majlis tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.