Cabut jeriji tingkap, selamatkan diri daripada banjir.
DURIAN TUNGGAL 18 Mei. – Ibu tunggal dan anak lelakinya berusia 21 tahun terpaksa mencabut besi jeriji tingkap dapur untuk menyelamatkan diri dan keluarga ketika banjir di Kampung Bukit Balai, di sini.
Elfi Rahmi M Rizal, 42, berkata dia terpaksa berbuat demikian apabila mendapati air sungai berhampiran melimpah di hadapan rumah dan naik ke paras dada.
“Saya dan anak lelaki terpaksa mencabut besi jeriji tingkap dapur untuk menyelamatkan diri daripada air yang sudah naik hingga paras dada di hadapan rumah.
“Alhamdulillah, kami sempat menyelamatkan diri dan membawa keluar tiga lagi anak berumur antara sembilan hingga 18 tahun keluar melalui tingkap,” katanya.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, wanita terbabit terkejut apabila mendapati air sudah naik setinggi itu sebaik sahaja membuka pintu hadapan kediamannya.
Katanya, air di belakang rumah juga sudah naik dan berbahaya jika mereka sekeluarga keluar melalui pintu dapur dan tiada jalan lain untuk mereka menyelamatkan diri, selain terpaksa keluar melalui tingkap dapur.
“Di bahagian luar tingkap itu saya lihat air masih belum tinggi, jadi kami melompat keluar selepas besi jeriji berjaya kami tanggalkan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal, di sini hari ini.
Selain Elfi Rahmi dan anggota keluarganya, turut ditempatkan di PPS berkenaan ialah kira-kira 16 keluarga mangsa banjir dari Kampung Bukit Balai.
Bagaimanapun, mereka dijangka pulang ke kediaman masing-masing petang ini berikutan air mulai surut pagi ini.
Sementara itu, Mohd Jefri Suhaimi Firdaus, 16, berkata banjir kali ini adalah yang pertama tahun ini selepas kediamannya di kampung berkenaan dilanda banjir pada November tahun lalu.
“Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa mengambil langkah memindahkan perabot dan peralatan elektrik ke tempat tinggi bagi mengelak daripada ditenggelami banjir.
“Air naik dengan cepat dan jika kami lewat mengambil tindakan, kami akan mengalami kerugian lebih teruk akibat perabot dan barangan elektrik tenggelam” katanya ketika mencuci kediamannya daripada kesan lumpur.
Dia mendakwa, sungai di belakang kediamannya tidak pernah diperdalam dan menyebabkan lumpur serta kelodak semakin memenuhi dasar sungai.
Sehubungan itu, dia meminta Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan memperdalam sungai berkenaan bagi membantu aliran yang lebih baik, sekali gus mengelak banjir pada masa depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.