CABUL MURID DI RUMAH HANTU, GURU LELAKI DIREMAN 6 HARI
AYER KEROH 9 Januari – Guru lelaki sebuah sekolah di daerah Melaka Tengah, ditahan selepas didakwa mencabul dua murid perempuan darjah enam, di sekolahnya, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek berusia 43 tahun berstatus sudah berkahwin itu ditahan sepasukan polis di hadapan sebuah rumah di Paya Rumput, pada jam 10.25 malam tadi.
Katanya, tangkapan ke atas suspek itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis dibuat guru besar sekolah terbabit kira-kira jam 12.45 tengah hari, di Balai Polis Tanjung Minyak, semalam.
“Kira-kira jam 10 pagi, guru besar terbabit didatangi dua murid perempuan darjah enam dalam keadaan takut dan menangis lalu mendakwa telah diraba oleh seorang guru lelaki.
“Ketika kejadian kedua-dua mangsa dikatakan berada di dalam rumah hantu yang dibuka khas di kawasan sekolah bersempena penganjuran karnival sekolah.
“Susulan aduan dibuat oleh mangsa, guru besar bersama beberapa guru lain bertanyakan kepada suspek tentang kejadian itu namun dia menafikan bertindak demikian,” katanya
Menurut Md Nazri, susulan itu suspek kini direman enam hari selepas permohonan reman keatasnya dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
“Suspek direman bermula hari ini sehingga 14 Januari (Selasa) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek turut positif dadah dipercayai jenis methamphetamine,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.