Sorting by

×

CABARAN PEWARIS NEGARA DAN MELAKA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, meluangkan masa untuk menyantuni calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah.

Bagi Ketua Menteri, perjumpaan itu amat penting bagi menyuntik semangat untuk menggapai kecemerlangan dalam kalangan calon SPM berkenaan yang dianggap sebagai pelapis yang akan menjadi pewaris kepada pentabiran Negeri Melaka.

Ab Rauf berkata, golongan berkenaan adalah pewaris akan mengubah dan mencorakkan masa hadapan Malaysia bagi tempoh 10 tahun daripada sekarang yang pastinya mencabar susulan ledakan teknologi semakin canggih.

“Saya menganggap 1,273 orang calon SPM daripada Parlimen Masjid Tanah ini adalah pewaris yang bakal menggantikan karier doktor, guru dan jurutera. Justeru, saya mahu generasi harapan bangsa di hadapan saya ini, pasakkan dalam hati masing-masing untuk terus berjuang dan beriltizam, menggenggam ilmu demi menjulang pencapaian cemerlang yang akhirnya membanggakan negeri dan negara.

“Pada masa yang sama, suka saya berpesan kepada anak-anak jangan pernah sesekali melupakan pengorbanan ibu bapa dan guru-guru. Semoga dengan iringan doa yang tidak pernah putus daripada mereka akan memberkati usaha, sekali gus
mempermudah segala ikhtiar untuk mencipta kecemerlangan,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih SPM Dan Penyerahan ‘Mock Cheque’ Sekolah-Sekolah Parlimen Masjid Tanah Bersama YAB Ketua Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra, Kampung Ayer Hitam, Masjid Tanah.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang juga Menteri Melaka Ke-12; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum, Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Karim Tumin, Pengetua SMK Ade Putra, Zaliza Md Zali dan pengetua sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara menaruh keyakinan bahawa semua calon SPM berkenaan mempunyai potensi dan semangat juang yang tinggi untuk memburu kemanisan kejayaan yang cemerlang.

“Percayalah, usaha yang berterusan tidak akan pernah mengkhianati hasilnya, pertemuan bersama anak-anak ini, sedikit sebanyak menyuntik sentuhan motivasi kepada anak-anak yang bakal menduduki SPM dijangka berlangsung dari 2 Januari 2025 hingga 6 Februari 2025.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

75
Kongsi :
Previous post BADAL HAJI UNTUK ALLAHYARHAMAH CIKGU DAHLIA
Next post MELAKA LAKSANA PEMUTIHAN NELAYAN, BATAL LESEN ‘ALI BABA’
Ubah saiz-+=