Sorting by

×

CABARAN MENDIDIK GENERASI DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SERI NEGERI 25 Februari – Ledakan teknologi dunia digital tanpa sempadan melahirkan generasi muda dengan ciri yang sangat pantas dan cekap menggunakan pelbagai peranti pintar dalam kehidupan seharian terutama hal pendidikan.

Lahir dalam persekitaran zaman perkembangan teknologi, anak-anak masa kini memiliki ciri-ciri amat berbeza dengan generasi sebelumnya yang mana urusan hidup mereka banyak bergantung kepada alam fizikal.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, warga pendidik atau guru masa kini perlu lebih bersedia untuk berhadapan ragam anak-anak sekarang, kerana ada masanya soalan yang ditanya oleh mereka adalah lebih ‘tajam’ berbanding jawapan akan diberikan.

Tegas Ketua Menteri, sudah tiba masa buat warga pendidik khususnya bermula dengan pemimpin sekolah iaitu pengetua dan guru besar mengimbangi kepimpinan menerusi manfaat kemajuan teknologi dengan potensi risiko serta cabaran bagi memastikan persekitaran pendidikan kekal kondusif untuk pembelajaran yang holistik.

“Kalau zaman persekolahan dahulu, saya cukup teruja dengan kehebatan pendekatan pendidikan tradisional, tetapi yang berlaku pada hari ini anak-anak didedahkan dengan pendekatan lebih interaktif dan adaptif terhadap perubahan zaman.

“Realitinya, peradaban anak-anak kita juga telah berubah, pendidikan masa kini lebih kepada integrasi teknologi, rata-rata pelajar memerlukan peranti pintar dan internet termasuklah platform pembelajaran dalam talian menerusi pelbagai kaedah pembelajaran yang inovatif,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kepimpinan Instruksional Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Peluncuran Program MySbp@PPDMT di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesinalisme), Dr. Mohd Azam Ahmad; Pengarah Pendidikan Melaka, Mahfuzah Mohamed Noor serta Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Mohd Yusri Seman.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, inisiatif penganjuran program seumpama ini cukup signifikan seiring dengan cabaran terhadap perubahan dan reformasi terutamanya dalam bidang pendidikan abad ke-21.

“Tidak cukup dengan itu, teknologi kini telah mendorong kita semua kepada dunia pendigitalan dan AI (teknologi kecerdasan buatan) yang menghimpunkan segala keperluan serta informasi yang diperlukan dengan lebih pantas, tiada had oleh sempadan geografi atau masa, senang kata ketik jari macam-macam ada.

“Menjadi satu kebimbangan apakah nasib anak-anak muda kita pada masa hadapan untuk mencorak selain membina kehidupan lebih seimbang antara nilai-nilai kehidupan dan dunia pendigitalan sekiranya tidak dibimbing sejak dari awal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post DR. SABRI TAK LOKEK KONGSI ILMU, PENGALAMAN
Next post KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL LANDASAN LAKAR KECEMERLANGAN PENDIDIKAN