Sorting by

×

Butik Rakyat perlu diperluaskan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KLEBANG 15 April – Penganjuran Butik Rakyat 3.0 Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar disaran diperluaskan ke kawasan lain sekitar negeri ini.

Isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Utama Munira M Yusop berkata usaha yang dilakukan ini jelas membuka ruang kepada golongan B40 khususnya dalam meringankan beban dalam membuat persiapan terutama apabila menjelang musim perayaan.

Beliau berkata, inisiatif dilakukan pihak Datuk Mohd Yusof Abu Hassan menunjukkan langkah positif apabila ramai yang mendapat manfaat dan dibantu.

“Dengan adanya penganjuran sebegini ramai dapat manfaat dan tiada lagi yang tercicir kerana mereka boleh berkunjung ke sini untuk mendapatkan pakaian.

“Ini adalah langkah positif dan boleh dipanjangkan ke kawasan lain kerana memberi peluang kepada golongan B40 dalam membuat persiapan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Butik Rakyat 3.0, hari ini.

DATIN Seri Utama Munira Yusof bermesra dengan warga emas.

Menurut beliau, pihak penganjur dan mereka yang terbabit dengan penganjuran ini juga perlu diberi pujian kerana menyediakan pakaian terpakai yang berkualiti untuk disumbangkan kepada masyarakat.

“Proses memilih pakaian untuk butik ini sangat ketat hanya yang berkualiti sahaja dipilih malah pakaian baharu juga turut diberikan secara percuma hasil sumbangan daripada pihak tertentu.

“Mereka yang memerlukan tidak perlu malu untuk datang ke sini. Buangkan perasaan malu itu dan datanglah ia dapat membantu,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 32 anak yatim dan 50 warga emas turut diberikan bantuan wang tunai dan kit makanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1354
Kongsi :
Previous post Mimpi berada di Tanah Suci, hidayah saudara baharu
Next post Remaja putus tiga jari akibat mercun bola
Ubah saiz-+=