Sorting by

×

Butik Rahmah sedia lebih 15,000 baju raya percuma

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 3 April – Lebih 15,000 baju raya percuma disediakan di Butik Rahmah 4.0 bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar, Klebang Besar, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusoff Abu Hasan berkata, sebelum ini butik yang diberi nama Butik Rakyat telah mula beroperasi sejak empat tahun lalu dengan konsep yang sama.

Katanya, meski nama berubah mengikut konsep kerajaan semasa, namun konsep ‘datang dan ambil’ merupakan konsep awal yang dikekalkan untuk memayungi golongan kurang berkemampuan membeli kelengkapan menjelang Aidilfitri.

“Butik Rahmah 4.0 ini tujuannya untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan dan sekaligus memberikan sumbangan kepada rakyat atas kos sara hidup kini semakin menekan..

“Sedikit sebanyak, butik ini juga mambantu agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan dan kita ambil seruan Perdana Menteri yang mahukan konsep Rahmah ini untuk membantu golongan B40 dan ke bawah.

“Tidak kira apa saiz, golongan usia, bangsa jika mahukan pakaian menjelang Hari Raya Aidilfitri, boleh datang ke Butik Rahmah 4.0 ini, ia percuma dan pelbagai pilihan menarik dan cantik di sini,” katanya.

Hadir sama menyantuni rakyat di Butik Rahmah itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir, Leng Chau Yen.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, butik tersebut dibuka setiap hari pada jam 2 petang sehingga jam 12 tengah malam bermula 8 Ramadan lalu hingga menjelang Aidilfitri.

Ujarnya, setiap pengunjung yang hadir bersama keluarga yang mengambil pakaian di Butik Rahmah 4.0 itu turut akan menerima sekampit beras.

“Di sini, pengunjung tidak perlu datang bawa wang, malahan kita beri beras kepada pengunjung, dan saya tekankan di sini, jangan risau semua pakaian terpakai yang dipamerkan dan diberi percuma ini adalah berkualiti tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2418
Kongsi :
Previous post Harga runcit minyak masak sawit tulen kekal sehingga 7 Mei – Salahuddin
Next post Pemuda UMNO lancar tabung bantu jemaah terkandas
Ubah saiz-+=