Sorting by

×

Butik N5S Najjah: Syurga busana muslimah ‘plus size’

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

KLEBANG 18 September – Bertubuh besar kini bukan lagi penghalang untuk wanita berfesyen mengikut trend terkini.

Ia selepas Butik N5S Najjah di Klebang dibuka dengan memperkenalkan konsep busana muslimah dengan sentuhan elegan dan kontemporari untuk kaum hawa bersaiz ‘plus size’.

Pengasasnya, Nurul Hedayah Ismail, 37 berkata, dilema yang sering dihadapi individu bertubuh besar untuk berfesyen menjadi idea untuknya memperkenalkan konsep itu demi menunjukkan bahawa fesyen kini tidak lagi terhad kepada individu tertentu sahaja.

“Kadangkala kita lihat ada fesyen mengenakan rona warna cerah bersesuaian dengan wanita bersaiz kecil dan tidak sesuai kepada golongan ‘plus size, jadi butik kami cuba mengatasi masalah itu agar semua orang boleh berfesyen.

“Kadangkala wanita ‘plus size’ ini sukar untuk mendapatkan pakaian yang mereka mahukan kerana kebanyakkan yang ada di pasaran kurang membuka saiz dari XL dan ke atas, jadi itu tak ikut citarasa mereka untuk berfesyen.

“Apa yang Butik N5S Najjah tawarkan adalah ini merupakan salah satu jalan wanita yang dilema di luar sana untuk kekal berfesyen agar yakin untuk berdepan masyarakat dan ini termasuk kepada golongan ibu untuk memastikan pakaian yang mereka kenakan kekal segar dan mengikut peredaran masa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bercerita tentang tercetusnya perniagaan itu, Nurul Hedayah berkata, segalanya bermula apabila perniagaan makanan dan minuman yang diusahakannya terkesan ketika pandemik COVID-19 melanda.

1
LIMA beradik yang mengusahakan Butik N5S Najjah di Klebang.

Bertitik tolak daripada itu, ujarnya, dia bersama empat lagi adik-beradiknya mengambil peluang untuk meneroka bidang baharu meskipun terpaksa bermula dari bawah.

“Kesepakatan dan dorongan keluarga membuatkan perniagaannya semakin maju, dulu butik ini hanya berbumbungkan kanvas saja, namun keluarga juga yang komited bersama sehingga terbinanya bangunan baharu di butik ini.

“Kami semua bukan bekerja berlatarbelakangkan bidang fesyen, kelima-lima adik beradik ini hanya berniaga kedai makan dan perniagaan kantin sekolah jadi kami hanya mencuba-cuba dalam bidang ini dan akhirnya membuahkan hasil dari kesepakatan yang ada.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perniagaan yang kami jalankan semua terjejas, kantin sekolah ditutup malah saya yang bekerja dalam bidang logistik perkapalan di Sungai Udang turut terjejas.

“Syukur Alhamdulillah, kesepakatan hasil perbincangan adik beradik maka tertubuhnya perniagaan ini yang dilihat semakin berkembang, sungguh besar cabarannya kerana kami perlu patuhi permintaan pelanggan malah kalau nak belajar mengenal kain itu saya terpaksa ambil masa tiga bulan,” katanya.

3
BERTUBUH besar bukan lagi penghalang untuk wanita berfesyen.

Tambah Nurul Hedayah, untuk menaikkan nama butik itu, pelbagai pendekatan promosi digunakan, termasuk jualan menerusi platform dalam talian seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Katanya, butik yang terletak di Klebang Kecil itu dibuka bermula jam 4 petang hingga 10 malam.

Terdapat lebih lapan koleksi terbaharu diperkenalkan termasuk koleksi raya yang akan dijual tidak lama lagi dengan harga di bawah RM300.

Antara sentuhan koleksi busana yang dipamerkan ialah kaftan, jubah, ‘maxi dress’, seluar, tudung dan pelbagai lagi.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang koleksi yang terdapat di butik berkenaan, orang ramai boleh melayari platform media sosial ‘N5S Najjah’ di Facebook, Instagram dan TikTok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5959
Kongsi :
Previous post Perdagangan Malaysia-China dijangka cecah rekod tertinggi tahun ini – MITI
Next post Seorang maut, seorang parah motosikal rempuh lori
Ubah saiz-+=