Busur dan panah Melaka dijual di Hungary

Masa Membaca:3 Minit, 18 Saat

SIAPA sangka, minat mendalam terhadap bidang inovasi dan reka cipta berjaya mengangkat anak jati Durian Tunggal muncul pencipta pertama busur dan panah bercirikan Melaka.

Sufyan Mohd Salleh, 61, mengakui dia tidak pernah mengimpikan sesuatu seperti itu sebelum ini, apatah lagi membesar sebagai seorang yang bukan meminati sukan memanah.

“Mungkin atas faktor pengalaman saya dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama 40 tahun membuatkan saya boleh sampai ke tahap ini.

“Pada awalnya, saya memang tidak berminat tetapi ada rakan meminta saya menghasilkan set lengkap busur dan panah. Jadi, dari situ saya buat kajian dan fikir saya boleh buat inovasi,” katanya ditemui Melaka Hari Ini (MHI), semalam.

SUFYAN…pembuatan busur panah menuntut ketelitian tinggi kerana banyak aspek perlu diambil kira termasuklah formula mekanikal serta berat dan kelajuan sesuatu ciptaan itu sendiri.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, bermula dari situ dia mula melihat video penghasilan busur dan panah melalui YouTube dan Google dan cuba membuat satu inovasi baharu.

“Mula-mula saya ikut bulat-bulat rekaan busur dan panah yang saya belajar, tetapi lama-lama saya terfikir kenapa tidak mereka sendiri panah dengan bentuk yang unik dan tiada di pasaran.

“Dari situlah tercetusnya idea untuk saya menghasilkan senjata tradisonal ini dengan bercirikan Melaka yang mempunyai ciri-ciri kemelayuan dan klasik,” katanya.

BUSUR DAN PANAH TERBANG KE HUNGARY

Disebabkan keunikan itulah senjata yang dihasilkan graduan Sekolah Vokasional Sungai Abong (kini Kolej Vokasional Muar) itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Meskipun berdepan cabaran sejak pandemik COVID-19 melanda negara, namun ia tidak menjejaskan pendapatan Sufyan daripada penghasilan busur dan panah apabila berjaya menjual tidak kurang 40 set sebulan.

BAGI memastikan warisan terus terpelihara Sufyan menurunkan ilmu pembuatan busur dan panah serta kemahiran memanah kepada anaknya, Mohd Fadhil.

“Dengan harga sekitar RM450 hingga RM900 untuk satu set lengkap, busur dan panah yang saya hasilkan boleh dikatakan antara yang paling berpatutan di pasaran.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah dalam kalangan mereka yang berumur 30-an. Ada yang beli kerana berminat dengan sukan memanah, namun ada yang sekadar menjadikannya sebagai hiasan rumah.

“Namun, paling membanggakan apabila busur dan panah ciptaan saya dibeli pelanggan dari Hungary,” katanya.

MARTABATKAN SUNNAH NABI

Sufyan berkata, memandangkan memanah antara sunnah Rasulullah SAW, dia bertekad terus memperjuangkan sukan itu agar ia tidak luput ditelan zaman.

Katanya, dalam usaha memastikan warisan itu terus dipelihara, dia kini menurunkan ilmu pembuatan senjata itu dan kemahiran memanah kepada anaknya, Mohd Fadhil, 27.

Malah, dia yang kini membuka Taming Sari Archery di rumahnya juga tidak lokek untuk mengajar segala ilmu kepada sesiapa sahaja yang berminat mempelajari dan mendalami sukan berkenaan ataupun penghasilan busur dan panah tersebut.

“Saya juga membuat kursus memanah di Taming Sari Archery secara percuma dan tidak pernah meminta bayaran daripada mereka yang ingin mendalami sukan memanah ini.

“Ini kerana saya menganggap kerja ini sebagai satu dakwah dalam usaha untuk terus mengembangkan sukan digemari Rasulullah SAW ini.” katanya lagi.

SUFYAN menguji kekuatan busur panah yang dihasilkan.

Sufyan berkata, pembuatan busur dan panah bukan kerja mudah pada awalnya kerana banyak aspek perlu diambil kira termasuklah formula mekanikal serta berat dan kelajuan sesuatu ciptaan itu sendiri.

Dia mengakui mengambil masa beberapa bulan untuk mendapat rentak dan menghasilkan set yang sesuai dan menepati citarasanya.

“Saya lebih selesa menggunakan gentian plastik (strip fibre) untuk menghasilkan busur. Ini kerana ia lebih cantik dan tidak mudah patah. Jadi, daripada gentian itulah kita akan buat lengkungan mengikut formula yang saya cipta.

“Selepas selesai proses itu, kita beralih kepada penghasilan siyah (pangkal lengkung pada busur) yang lazimnya menggunakan kayu ciku berusia lebih 100 tahun atau tanduk kerbau betina yang kemudian diukir mengikut rekaan dikehendaki.

“Kerja yang paling rumit ialah untuk melengkungkan gentian ini yang mesti dibuat dengan amat teliti bagi mengelak kecederaan kepada pemanah,” katanya menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan dalam menghasilkan busur dan panah untuk pelanggannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2559
Kongsi :
Previous post Gegau Jebat!
Next post MUFC idam kemenangan sulung
Ubah saiz-+=