Busuk, berkeladak dan meloyakan!
AYER MOLEK 25 Nov. – Busuk, berkeladak dan meloyakan. Itulah situasi yang boleh digambarkan dengan keadaan sungai di Kampung Paya Redan dan Kampung Seri Mawar, di sini, yang tercemar dan menghantui penduduk di kawasan itu.
Menerusi pengamatan Melaka Hari Ini (MHI), bukan hanya dua kampung, bahkan beberapa anak sungai yang menghubungkan beberapa perkampungan lagi di mukim berkenaan turut mengalami masalah pencemaran yang sama.
Sebaik tiba di lokasi, bau busuk mula merencatkan suasana keindahan kampung tatkala tiap kali angin menderu.
Umpama menghidu bau najis dan sesekali bau seakan hancing turut diserap reseptor deria badan.
Beberapa lokasi sungai yang terletak di tepian ladang kelapa sawit dan getah dilihat berkeladak, malah mengakibatkan habitat tumbuhan air turut meninggalkan kesan kotoran hasil aliran sungai itu.
Difahamkan, dilema terbabit sudah hampir 10 tahun berlaku, namun masih tiada ‘titik noktah’ ditemui sehinggakan penduduk sudah lali dengan keadaan itu.
Lebih tiga jam di kampung itu, MHI dibawa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Kemajuan Kampung (JPKK) Mohd Ali Janah Lahuri meredah denai dan menelusuri jejak sungai kotor itu.
Hasilnya, kami menemui sebuah kilang perindustrian dan penternakan yang didakwa menjadi antara punca utama pencemaran terbabit.
Bagaimanapun reaksi yang berbeza daripada penduduk menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Ada yang ditemui mendakwa pencemaran itu berpunca daripada kilang berkenaan, malah ada penduduk lain pula mengaitkan bau busuk itu hasil ladang ternakan lembu yang tidak berlesen.
Bagaimanapun kehadiran kami pada hari itu bolehlah disifatkan sebagai ‘bernasib baik’ disebabkan musim hujan yang kini melanda seluruh negeri.
Disebabkan itu, kami tidak dapat menyaksikan sendiri keadaan air yang dahulunya hitam dan berkeladak kerana aliran sungai telah menjadi dera, sekali gus mengakibatkan perubahan pada warna air yang kini kelihatan berwarna coklat gelap.
Bagaimanapun, dalam tinjauan itu, kami dapat menyaksikan dua tona berbeza warna air menerusi sebuah cabang anak sungai yang menghala ke sebatang sungai besar di sekitar kampung tersebut.
Sebahagian sungai kelihatan jernih manakala sebahagian lagi yang berkeladak cukup untuk membuktikan penduduk tidak mereka-reka cerita.
Sudahlah busuk, ia ditambah lagi dengan pemandangan menyakitkan mata terdapat tompokan buih yang tidak diketahui terapung dan hanyut di permukaan sungai.
Difahamkan situasi itu turut mencemarkan kira-kira tujuh kilometer kawasan lain bahkan turut sampai ke arah muara sungai yang terletak di Alai.
Pelik dan menjadi tanda tanya, siapa dalangnya dan mengapa masalah ini masih berlarutan saban tahun?
Diharapkan isu seperti ini dapat membuka mata ramai pihak terutama dalam menjaga imej Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan.