Busana rekaan anak tempatan raih perhatian wanita Australia
PORT DICKSON 22 Ogos- Seorang tukang jahit tempatan yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan teruja apabila busana jahitannya mendapat perhatian dari pelanggan di Australia.
Suhyla Ashari,26, berkata, kepada portal Malay Mail baru-baru ini, pada awalnya dia tidak percaya dan agak ragu-ragu, namun menganggapnya itu satu peluang untuk memajukan diri.
Katanya, pelanggan wanita yang berasal dari Australia itu meminta dia menjahitkan busana pengantin yang elegan dan segala ukuran badan diambil menerusi panggilan video.
“Pada mulanya, saya ragu-ragu untuk ambil tempahan terbabit kerana cabaran untuk mendapatkan ukuran tubuhnya (pelanggan) secara maya berbanding dengan melakukan secara bersemuka agak berbeza.
“Tetapi nak buat macam mana, dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) banyak kedai yang tutup, jadi agak sukar mendapatkan material untuk busana pengantin, namun semuanya dapat dibeli menerusi atas talian.
“Walaupun pada awalnya nampak agak mustahil namun, saya tahu bahawa ini akan menjadi cara yang baik untuk rekaan saya ke pasaran luar negara,” katanya.
Jelas Suhyla, pelanggan wanita Australia itu adalah pelanggan ketiganya dari luar negara.
Tambah Suhyla menceritakan detik dia mendapat tempahan tersebut menerusi WhatsApp pada 10 Jun lalu, di mana wanita itu akan bernikah sepatutnya 30 Ogos ini namun belum ada tarikh tetap kerana di Melbourne sedang ‘lockdown’.
Ujar Suhyla, proses menyiapkan baju terbabit mengambil masa sekitar tiga hari, manakala untuk tiba di Australia pula mengambil masa sekitar enam ke tujuh hari.
“Tapi pelanggan saya menerima gaun itu semalam, dia mengatakan ia sesuai dengan sempurna dan tidak diperlukan perubahan, syukurlah.
“Bayaran menjahit berharga RM890, kos penghantaran gaun ke Australia berharga RM700,” katanya.
Kejayaannya menjahit gaun pengantin itu memberi inspirasi kepada Suhyla untuk membuka kedainya sendiri di masa depan setelah kejayaannya merancang gaun pengantin untuk pelanggannya.
“Adalah menjadi impian saya untuk memiliki kedai dan pekerja saya sendiri kerana ramai yang akan menyedari kewujudan saya dalam industri ini berbanding bekerja dari rumah sahaja.
“Saya suka fesyen dan gembira apabila pelanggan turut menyukai rekaan busana yang dihasilkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.