BUSANA REKAAN ANAK BAWA TUAH BUAT SURI RUMAH

Masa Membaca:59 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Menempah baju saat akhir dengan hanya bermodalkan RM45 melayakkan seorang suri rumah bergelar Ratu Batik Malaysia pada Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024.

Lailatul Bibijan Ab Latif dari Kampung Padang Keladi, Durian Tunggal, muncul johan selepas memperagakan busana batik kurung moden yang direka sendiri anaknya berjaya menambat hati juri.

Jelas ibu kepada tiga anak itu, kejayaan itu sekali gus menjadi memori manis untuknya sepanjang menyertai pelbagai pertandingan.

“Modal RM45 itu termasuk upah jahit dan nilai kain batik lepas yang dibeli di sebuah pasar raya. Alhamdulillah, kemenangan ini begitu manis sekali apabila rekaan anak menambat hati juri seterusnya bergelar juara.

“Keluarga memang tahu saya minat untuk menyertai pertandingan sebegini dan mereka turut memberi sokongan kepada saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Lailatul Bibijan berkata, penyertaannya bukanlah semata-mata untuk mengejar hadiah kemenangan, sebaliknya ia merupakan manifestasi semangat dan rasa cinta terhadap batik tradisional yang juga warisan negara.

“Pada saya, rekaan busana batik berupa gaun dengan gabungan kain ela beruraian di bahagian belakang baju menaikkan seri pakaian ini.

“Niat dan tujuan saya bukan mahu mengejar kemenangan, tapi untuk menaikkan rekaan batik kontemporari yang diberi nafas baharu,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

93
Kongsi :
Previous post MEMBUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT DI MELAKA
Next post KETUA MENTERI RAI PENGUNJUNG PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2024
Ubah saiz-+=