Busana kebaya labuh bawa tuah buat si cilik
AYER KEROH 29 Mei – Berbusana kebaya labuh membawa tuah buat peserta berusia 10 tahun, Eva Jaslin Qistina Mahathir yang dinobatkan sebagai Miss Grand Kebaya Cilik 2023 di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka semalam.
Si cilik yang berasal dari Sungai Rambai itu turut merangkul kategori Peserta Paling Sopan dalam acara tersebut.
Anak kedua dari tiga beradik itu berkata, dia meminati bidang peragaan dan menari serta mahu menceburi bidang kesenian dan kebudayaan jika diberi peluang.
“Saya mula rasa seronok menjadi model apabila pernah beberapa kali masuk pertandingan peragaan kebaya sebelum ini.
“Namun kemenangan ini yang pertama kali dan ini (kemenangan) membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan minat saya dan ibu memang menyokong sepenuhnya.
“Perasaan saya setiap kali memperagakan busana tradisional pasti akan rasa bangga, kerana kami peserta pertandingan ini perlu masuk bengkel untuk lebih kenal pakaian yang kami peragakan selain diajar cara ‘catwalk’ dan ‘pose’ di atas pentas,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu,ibunya,Noor Dalela kamarulzaman, 44, turut berkongsi kegembiraan apabila bakat dan kegigihan anaknya diangkat menjadi juara pertandingan tersebut.
Jelasnya, sebagai ibu, dia memahami minat dan cenderung dua anak perempuannya yang cenderung ke arah kecantikan, termasuk gemar bersolek selain meminati tarian.
“Untuk pertandingan ini, saya menghantar dua ‘peserta’ iaitu Eva Jaslin Qistina dan adik bongsu, Aurora Alisha Mahathir,6.
“Tujuan saya hanya mahu melentur buluh biar dari rebung, saya mahu beri pendedahan awal, menyokong minat mereka sekali gus cuti sekolah mereka diisi dengan hal bermanfaat seperti ini,” katanya.
Eva Jaslin Qistina membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300, piala, hamper dan tiara simbolik Miss Grand Kebaya Cilik2023 dan Aurora Alisha turut memenangi kategori pakaian terbaik dalam busana kebaya Nyonya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.