Sorting by

×

Busana hijau paling laris sempena Deepavali tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDA HILIR 2 November – Berbaki lebih kurang seminggu sebelum menyambut perayaan Deepavali, bahang sambutan Pesta Cahaya itu semakin dirasai seluruh masyarakat India di negeri ini.

Suasana itu dapat dirasai menerusi tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Pesta Deepavali 2023 yang dianjurkan di Jalan Bendahara, Little India di sini, menyaksikan masyarakat India semakin sibuk dengan persiapan menjelang perayaan itu pada Ahad depan.

Aneka kedai dan gerai kecil di sepanjang jalan menawarkan kepelbagaian makanan tradisi, barangan kemas, pakaian bagi membolehkan pengunjung mendapatkan keperluan dengan harga berpatutan.

Bagi peniaga, pilihan rona hijau dikenakan pada pakaian tradisi tidak putus-putus menerima permintaan pelanggan bagi mengenakan pakaian sedondon sempena Hari Deepavali.

Seorang peniaga, Sithi Fathimuthu Joharan, 38 berkata, jualannya semakin laris apabila saban hari didatangi pelanggan terutama dalam kalangan seisi keluarga untuk mendapatkan pakaian tradisi kaum itu.

Katanya, biarpun pada awal perniagaannya sejak 27 Oktober lalu agak kurang memberangsangkan namun rezekinya semakin bertambah menjelang di penghujung minggu sebelum Deepavali.

“Ramai yang datang di gerai saya sebab semua pakaian ini adalah pakaian yang saya import dari India dan Alhamdulillah rata-rata pelanggan yang datang tahun ini ramai yang mencari tema warna hijau.

“Hampir berpuluh-puluh pakaian yang dijual terdiri daripada lenga, gaun, sut punjabi, jeepa dan sharwal serta pelbagai lagi yang dibeli pelanggan adalah daripada warna hijau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, gerainya turut dikunjungi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum pemimpin negeri itu merasmikan Pesta Deepavali 2023 diadakan di Padang Nyiru, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Sithi Fathimuthu berkata, biarpun terpaksa bersaing positif antara peniaga di kawasan itu namun dengan menawarkan promosi adalah antara strategi bagi memastikan lebih ramai pelanggan datang ke gerainya.

Katanya yang menjalankan perniagaan jualan pakaian itu secara di atas talian turut tetap tidak melepaskan peluang untuk berniaga di kawasan itu setiap tahun demi menjana pendapatan keluarga setelah bangkit daripada pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu.

“Gerai saya menjual pelbagai jenis pakaian ditawarkan serendah RM30 hingga RM160 dengan diskaun lebih kurang 20 hingga 30 peratus, promosi juga bergantung kepada pelanggan jika mereka banyak membeli lebih banyak diskaun akan diberi.

“Alhamdulillah biarpun agak kurang sambutan pada sebelah siang saya lihat pelanggan semakin ramai akan datang apabila menjelang malam.

“Kesemua peniaga di sini beroperasi dari jam 11 pagi hingga 12 tengah malam dan masing-masing sibuk melayan permintaan pelanggan sempena Deepavali tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post Penyatuan kekayaan warisan budaya Pahang-Melaka
Next post Indahkan laman dapat hadiah lumayan – MBMB
Ubah saiz-+=