BURUH WARGA ASING MAUT JATUH DI TAPAK PEMBINAAN DI MERU RAYA
Lelaki berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang ke lokasi ketika operasi menyelamatkan dijalankan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.06 pagi.
Beliau berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan dibawa ke tempat lapang oleh pekerja lain untuk bantuan dan kita melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (System Approach To Victim Entrapment Rescue) dengan mengarahkan anggota membuat pemeriksaan dan memberikan bantuan pernafasan CPR (resusitasi kardiopulmonari ) kepada mangsa.
“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 10.45 pagi. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.