‘Burger pelik’ tarikan baharu Pengkalan Balak

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

PENGKALAN BALAK 14 Oktober – “Sejak ditularkan kami banyak menerima tempahan, malah orang kampung mula menggelarkannya sebagai’burger pelik’.

“Kalau orang luar mahu cari gerai kami kena sebut nama burger pelik barulah penduduk sekitar tahu dan akan tunjukkan mana lokasi warung kami,” kata Pengurus Gerai Ombak Kitchen, Azam Jamlus, 50.

Bermula sebagai hobi, Azam bersama isteri, Mawar Seroja Minhat, 44, mula serius dalam perniagaan makanan ala barat termasuk mencari idea untuk menawarkan produk yang mampu menarik perhatian pelanggan.

photo1665546819
HIDANGAN ‘burger Crispy’ yang diusahakan di Ombak Kitchen, Padang Pantai Kemunting, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Menurutnya, roti warna merah jambu, hitam, biru dan coklat disediakan bersama isi ayam digoreng garing menjadi kekuatan mereka sehingga ke hari ini.

Mungkin sudah rezeki, pasangan ini strategi menggunakan roti warna-warni membantu mereka untuk terus bertahan dan selepas dua tahun burger pelik masih mendapat perhatian pelancong selain penduduk sekitar.

Meskipun masing-masing memiliki latar belakang bidang pengurusan kewangan Azam dan Mawar tidak kekok untuk terjun ke bidang penyediaan makanan yang kini menjana pendapatan sampingan mereka.

Azam berkata, pendapatan utama mereka adalah hasil daripada operasi chalet milik keluarga yang diuruskan namun pandemik COVID-19 menyebabkan industri hospitaliti terjejak teruk hingga mereka terpaksa memikirkan cara lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

photo1665547089
ANTARA hidangan yang popular ‘mee ramen’ yang diusahakan di Ombak Kitchen, Padang Pantai Kemunting, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, pergerakan semua orang terbatas, operasi chalet ‘mati’ berbulan-bulan lamanya kosong, pendapatan langsung tidak ada, wang simpanan pula semakin menyusut.

“Menu saya sediakan ini dipelajari menerusi video tutorial cef dan tukang masang tersohor dunia yang dikongsi di media sosial. Saya cuba masak dan beri keluarga serta rakan rasa, alhamdulillah mereka kata sedap.

“Maklumbalas positif itu memberikan semangat kepada saya dan isteri untuk serius dalam bidang ini, sepanjang PKPK boleh kata ini adalah pendapatan utama kami kerana chalet terpaksa ditutup,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

photo1665547407
MAWAR Seroja Minhat, 44, (kiri) bersama suaminya Mohd Azam Jamlus, 51, (kanan) menunjukkan hidangan yang diusahakannya di Ombak Kitchen, Padang Pantai Kemunting, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Katanya, kuasa tular banyak membantu mempopularkan menu yang ditawarkan hingga mendapat tempahan daripada pelanggan luar daerah Alor Gajah seperti di Hospital Melaka ketika PKP dikuatkuasakan.

Sementara itu, Mawar berkata, pelbagai cabaran yang dihadapinya dan suami sebelum burger pelik menjadi bualan dalam kalangan pelancong.

“Paling saya tidak dapat lupakan, gerai kami terbalik akibat dipukul ribut, tapi itu tidak mematahkan semangat saya dan suami. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kecekalan kami berjaya bina sebuah warung yang lebih selesa dan kukuh yang dilengkapi kemudahan lengkap menerusi pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

photo1665546383
OMBAK Kitchen di Padang Pantai Kemunting, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

“Bagi saya apa yang penting, dalam meneruskan kehidupan perlu ada kreativiti dan minat tersendiri selain melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh kerana bidang makanan ini luas, kita perlu ada idea. Dalam setiap minat atau pekerjaan kita lakukan itu saya percaya ada rezeki untuk kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7686
Kongsi :
Previous post Lembaga Peperiksaan: PBS nilai pelajar secara holistik
Next post JPJ Melaka keluarkan 123 notis kesalahan pemandu dan pemilik kenderaan
Ubah saiz-+=