Bunyi letupan beberapa kali – Nor Lenny
TENGKERA 16 Okt. – “Saya dengar bunyi letupan beberapa kali dari rumah ‘Uncle’ ketika sedang menguruskan anak ke sekolah,” kata Nor Lenny Mohd Sani, 44.
Nor Lenny merupakan jiran kepada Ong Cheng Seng yang maut dalam kebakaran di Lorong Yang Yee, Kampung Limbongan pada jam 6.40 pagi tadi.
Menurut Nor Lenny, sebaik mendengar letupan itu dia keluar dari rumahnya dan melihat api sedang marak menjilat kediaman Cheng Seng.
“Saya nampak ‘Uncle’ (Cheng Seng) keluar rumah, tetapi berlari semula ke bahagian belakang rumah dalam keadaan panik.
“Saya rasa dia mahu menyelamatkan anjing peliharaannya,” katanya.
Dia berkata, ketika kejadian dia turut berasa panik sebelum berlari menyelamatkan anaknya, manakala suaminya turut membantu orang ramai bagi memadamkan kebakaran itu.
“Api merebak terlalu cepat ke semua bahagian rumah Uncle.
“Selepas itu saya tidak nampak kelibat Uncle dan tidak lama kemudian anggota bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam kejadian itu,Cheng Seng ditemui rentung di bahagian dapur oleh anggota bomba dipercayai cuba menyelamatkan tiga ekor anjing peliharaannya dalam sebuah rumah.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu dan bergegas ke lokasi pada jam 6.55 pagi dan menemui mangsa satu jam kemudian.
“Maklumat awal yang diterima, mangsa dikatakan keluar rumah menyelamatkan diri namun masuk semula ke dalam rumah.
“Bagaimanapun, sebaik api berjaya dikawal pada 7.06 pagi, anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemui mayat mangsa di bahagian dapur pada jam 7.54 pagi,” katanya ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Khairul Nizam berkata, selain rumah mangsa yang terjejas keseluruhannya, rumah di bahagian kediaman mangsa turut terjejas akibat kebakaran itu.
“Kerugian masih disiasat dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.