Bunuh anak: Ibu dan teman lelaki didakwa
Mary Teh May Yee, 44, dan pemandu lori S. Puvaneswaran, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa bersama-sama membunuh Teh Joseph di sebuah rumah di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan dekat sini pada 12.55 tengah malam, 22 Ogos lepas.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, Puvaneswaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan keterangan bertulis palsu kepada Konstabel Rashmit Kaur Harpajan Singh, menyebabkan ASP Che Ashru Nizam Che Abdul Rahman melakukan siasatan yang sepatutnya tidak perlu dilakukan sekiranya keadaan sebenar kejadian dimaklumkan tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan dekat sini pada 2.57 pagi, 22 Ogos lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal tidak menawarkan jaminan kerana kes bunuh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kesemua kes.
Pada 26 Ogos lepas, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan teman lelakinya selepas dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Serdang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata pemeriksaan lanjut pihak hospital pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki mangsa telah didera dan dipukul selain punca kematian disebabkan kecederaan pada tisu lembut akibat pukulan objek tumpul.
Katanya, kedua-dua suspek juga telah membuat laporan polis palsu yang menyatakan telah terlanggar kanak-kanak itu dengan lori, namun hasil siasatan mendapati kejadian yang dilaporkan itu tidak berlaku dan mereka mengaku mendera mangsa sehingga mati, malah lori yang disebut itu juga didapati telah dicuri.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.