Bunga raya lambang patriotik warga MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Warga kerja Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerima sepasu anak pokok bunga raya sebagai simbolik ketibaan Bulan Kebangsaan 2024.

Anak pokok itu diberikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bilangan 7 anjuran Jabatan Landskap dan Kesihatan Persekitaran di Taman Botanikal Ayer Keroh, semalam.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, hadiah istimewa itu merupakan tanda penghargaan kepada kakitangan, di samping bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga kerjanya.

“Sebanyak 200 pasu anak pokok bunga raya telah diagihkan kepada warga kerja MPHTJ dan istimewanya, kesemua anak pokok ini dibaja dan disemai benih secara bergotong-royong oleh kakitangan.

“Pokok bunga ini kemudiannya akan dijaga oleh mereka di rumah masing-masing bersempena ketibaan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, selain memupuk rasa cinta pada negara, perhimpunan tersebut turut memberi penekanan kepada amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan.

“Kesihatan badan turut merangkumi kesihatan mental, emosi, rohani dan sosial. Justeru itu, mengamalkan gaya hidup sihat membantu kita mencapai tahap kesihatan optimum seterunya menjamin kesejahteraan hidup.

“Saya suka mengingatkan kakitangan MPHTJ supaya menjaga kesihatan diri, kebersihan diri demi meneruskan kelangsungan menjalani kehidupan seharian. Seperkara lagi ialah kita perlu selalu menerima rawatan doktor bagi membolehkan penyakit kronik dapat dikesan lebih awal.

“Pokoknya, kesedaran diri setiap individu perlu disertai dan saya sentiasa mengingatkan antara kita agar mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan hidup yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, perhimpunan itu turut dihadiri Ketua Ahli Majlis MPHTJ Clr. Wan Mohammed Fairuz Wan Abdullah serta warga kerja MPHTJ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post Jasin Development Initiative percepat proses kelulusan projek
Next post Pulih semula anak syarikat kurang memberangsangkan
Ubah saiz-+=