Bunga api RM2 juta warnai langit Selat Melaka
KOTA LAKSAMANA 19 Januari – Pertunjukan bunga api berirama menelan kos RM2 juta dianggap sebagai satu kekuatan buat Sheng Tai International dalam usaha untuk memikat 15 wakil negara pelabur antarabangsa yang bertandang ke Negeri Melaka.
Presiden Kumpulan Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, persembahan bunga api mewarnai langit Selat Melaka secara tidak langsung menandakan negeri ini mampu maju ke hadapan setanding lokasi lain dengan kemasukan pelaburan yang meyakinkan.
“Persembahan selama dua hari menggunakan kepakaran kumpulan Pyrotex Fireworx – syarikat pertunjukan bunga api juara di United Kingdom, ini adalah untuk menonjolkan reputasi terbaik Negeri Melaka di mata delegasi asing yang hadir.
“Perbelanjaan ini adalah sesuatu yang amat berbaloi dalam usaha memikat wakil 15 negara pelabur. Tidak mustahil pada penganjuran akan datang mungkin lebih 30 atau 100 wakil negara mahu ke Melaka. Semua ini membina keyakinan dalam pembangunan dan kemasukkan pelaburan ke negeri ini.
“Saya mahu mereka yang datang merasai pengalaman yang begitu bermakna yang boleh diabadikan sebagai kenagan indah untuk dikongsi selepas pulang ke negara asal. Kami mahu mereka tahu Negeri Melaka mahu kehadapan setaraf tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sheng Tai Night 2023 di Kota Laksamana, di sini, disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz.
Jelasnya persembahan itu juga adalah bersempena pelancaran rasmi bangunan The Sail yang bakal menjadi bandaraya ikonik dalam usaha beliau memperkasakan pembangunan seni, fesyen dan budaya di Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.