Bumbung terbang sekelip mata dilanda ribut
KRUBONG 21 Feb – “Memang tak sangka kejadian itu berlaku sekelip mata, bunyi teramat bising membuatkan kami semua ketakutan,” kata Muhammad Ikram Md Nasir, 35.
Muhammad Ikram antara penghuni dari empat deretan rumah yang berdepan detik cemas selepas kejadian ribut berlaku di Kampung Tanah Merah, dekat sini petang tadi.
Dia yang tinggal di salah sebuah deretan rumah berkenaan bersama ibunya berkata, dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, dia baru sahaja pulang dari tempat kerja.
“Ketika pulang kerja pada pukul 6 petang tadi hujan lebat melanda dan tiba-tiba bunyi yang teramat bising berlaku sebelum serpihan zink dan rangka atap berterbangan sekelip mata.
“Kejadian itu berlaku pantas kira-kira 10 minit membuatkan kami semua ketakutan dan terpaksa mencari tempat selamat.
“Kami sekeluarga berlindung di bilik air yang ditutupi dengan simen konkrit menempatkan tangki air di atasnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata, kejadian itu bukan sahaja meranapkan bumbung rumah itu namun kediaman kakak sulungnya, Rohani Md Nasir,62 turut menerima nasib sama.
Katanya, dua lagi rumah diduduki jirannya juga ranap sehingga serpihan bumbung berterbangan dan jatuh di rumah mereka.
“Setakat malam ini kami terpaksa bermalam dengan lilin sehingga kerja-kerja penambahbaikan dijalankan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Bagaimanapun Alhamdulillah tiada kecederaan yang berlaku dan bersyukur kejadian ini mendapat perhatian dari jiran tetangga menghulurkan bantuan makanan dan lilin setakat ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.